22 Ogos 2024, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) merupakan satu inisiatif kerajaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 19 Ogos 2024 yang lalu. PuTERA35 sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh kedudukan ekonomi bumiputera di Malaysia selain memastikan bahawa golongan bumiputera terus berkembang dalam ekonomi negara yang semakin kompetitif. Inisiatif ini adalah lanjutan kepada dasar-dasar afirmatif sebelumnya yang ditubuhkan untuk mengurangkan jurang ekonomi antara kaum di Malaysia. PuTERA35 menekankan kepada pelibatan dalam sektor ekonomi berpendapatan tinggi dan memastikan penyertaan meluas dalam pembangunan ekonomi negara.

Bagi mengukuhkan pelibatan bumiputera dalam ekonomi secara menyeluruh, pelan tersebut dibangunkan dengan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera yang lebih bermakna.

Pertama, peningkatan penyertaan bumiputera dalam ekonomi yang berpotensi tinggi dan berdaya maju seperti teknologi, inovasi, perkhidmatan kewangan dan industri hijau. Bagi mencapai matlamat ini, penyediaan lebih banyak peluang latihan dan kemahiran untuk bumiputera diberikan penekanan selain sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera dalam sektor-sektor ini.

Kedua, peningkatan pemilikan ekuiti dalam kalangan bumiputera dalam syarikat strategik di Malaysia serta memastikan bahawa bumiputera mendapat faedah yang lebih besar daripada pertumbuhan ekonomi negara. Menurut statistik terkini daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia meningkat daripada 18% pada tahun 2020 kepada 21% pada tahun 2023. Namun demikian, peratusan ini dilihat masih jauh daripada sasaran 30% yang ditetapkan dalam Dasar Ekonomi Baru.

Ketiga, pengukuhan melalui program bantuan kewangan, insentif dan sokongan perniagaan untuk meningkatkan daya saing usahawan bumiputera. Data yang diperoleh daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menunjukkan bahawa jumlah usahawan bumiputera yang terlibat dalam sektor teknologi meningkat sebanyak 12% pada tahun 2023 berbanding dengan tahun sebelumnya. PuTERA35 juga memberikan tumpuan kepada pemerkasaan usahawan bumiputera melalui sokongan pembiayaan, latihan dan insentif cukai. Program ini bertujuan untuk meningkatkan daya saing usahawan bumiputera di peringkat domestik dan antarabangsa.

PuTERA35 mempunyai kekuatan untuk meningkatkan ekonomi bumiputera secara menyeluruh. Dengan menyediakan akses kepada pendidikan, latihan dan peluang perniagaan, pelan ini berupaya meningkatkan keupayaan bumiputera untuk bersaing dalam ekonomi moden. Selain itu, PuTERA35 melibatkan kerjasama dan sokongan daripada sektor awam dan sektor swasta. Strategi yang digariskan dalam PuTERA35 menunjukkan komitmen kerajaan untuk melibatkan sektor swasta dalam usaha memperkukuh kedudukan ekonomi bumiputera. Hal ini termasuk kerjasama strategik dengan syarikat besar untuk meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dan memperluas rangkaian perniagaan mereka.

PuTERA35 memperkenalkan pelbagai inisiatif sokongan kepada usahawan bumiputera, termasuk pembiayaan dan akses kepada pasaran yang boleh membantu mengurangkan cabaran untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan. Dengan sokongan institusi-institusi kewangan seperti Permodalan Nasional Berhad, Majlis Amanah Rakyat dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), pelan ini mempunyai asas pembiayaan yang kukuh untuk membantu pelaksanaan inisiatif-inisiatifnya.

Selain itu, PuTERA35 dilihat sebagai pelan yang lebih inklusif dan holistik kerana semua segmen masyarakat bumiputera diberikan peluang untuk terlibat dan menikmati manfaat ekonomi. Hal ini termasuk belia, wanita dan golongan berpendapatan rendah. Malah PuTERA35 mengambil pendekatan yang bersepadu merangkumi pelbagai aspek seperti pendidikan, pemilikan ekuiti, keusahawanan dan penyertaan dalam sektor strategik. Pendekatan ini penting untuk memastikan usaha untuk meningkatkan ekonomi bumiputera dilakukan secara menyeluruh. Penekanan PuTERA35 kepada pembangunan sumber manusia melalui pendidikan dan latihan, dilihat mampu meningkatkan kapasiti dan kebolehan tenaga kerja bumiputera bagi membolehkan mereka bersaing dalam sektor ekonomi yang lebih maju.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diperhalusi oleh pihak kerajaan dalam memastikan PuTERA35 ini mencapai objektif yang disasarkan. Antara isu yang perlu diberikan penekanan ialah kemungkinan wujud ketidakcekapan pelaksanaan pelan ini. Walaupun pelan ini mempunyai objektif yang jelas, cabaran utama adalah untuk memastikan bahawa pelaksanaan pada peringkat akar umbi dilakukan dengan cekap dan berkesan. Sebarang kelewatan atau ketidakcekapan dalam pelaksanaan boleh mengurangkan keberkesanan keseluruhan pelan ini. Selain itu, isu ketirisan dan ketelusan perlu diberikan penekanan yang serius kerana kedua-dua masalah ini sentiasa dihadapi dalam pelaksanaan dasar ekonomi di Malaysia. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan pelan ini berjaya, penting untuk memastikan bahawa dana dan sokongan yang disalurkan benar-benar sampai kepada golongan sasar dan digunakan secara berhemat.

Dalam era globalisasi ini, persaingan dalam pasaran terbuka sangat kompetitif. Terdapat kebimbangan bahawa bumiputera masih terlalu bergantung kepada sektor awam dan inisiatif kerajaan. Justeru, bagi merealisasikan PuTERA35, adalah penting untuk menggalakkan pelibatan sektor swasta dan mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kompetitif.

Kejayaan PuTERA35 bergantung kepada keupayaannya untuk mencapai matlamat jangka panjang seperti pemilikan ekuiti yang lebih tinggi dan pembangunan modal insan. Hal ini memerlukan komitmen yang berterusan daripada semua pihak yang terlibat serta keupayaan untuk menyesuaikan strategi yang bersesuaian. Malah, pelaksanaan transformasi ekonomi yang bersifat struktur kecerdasan buatan ini adalah satu proses yang kompleks dan memerlukan masa. Terdapat cabaran dari segi memastikan semua inisiatif pelan ini dapat dilaksanakan secara konsisten dan berkesan, terutama dalam menghadapi perubahan ekonomi global yang pesat.

Terdapat juga cabaran dari segi persepsi awam, terutamanya dalam kalangan bukan bumiputera yang mungkin melihat pelan ini sebagai diskriminasi positif. Ini boleh menimbulkan ketegangan etnik jika tidak ditangani dengan baik. Oleh itu, pelan ini perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang inklusif dan terbuka untuk memastikan sokongan daripada semua pihak.

PuTERA35 merupakan satu inisiatif penting kerajaan untuk memperkasakan golongan bumiputera dan rakyat keseluruhannya tanpa meminggirkan kaum-kaum lain. Dengan pendekatan yang menyeluruh dan memfokus kepada pembangunan modal insan serta pelibatan dalam sektor strategik, pelan ini mempunyai potensi untuk membawa perubahan yang signifikan. Tatakelola yang baik dan pengurusan yang cekap adalah penting untuk memastikan objektif PuTERA35 dapat dicapai dan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

 

Kredit foto: Kementerian Ekonomi

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.