Diterbitkan pada 20 Ogos 2024, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada hari Isnin 5 Ogos 2024, dunia dikejutkan dengan kejatuhan harga saham global. Indeks utama seperti S&P 500, FTSE 100 dan Nikkei 225 mencatatkan kejatuhan sebanyak tiga peratus, dua peratus dan 12.4 peratus dalam masa satu hari. Indeks FBMKLCI juga tidak terkecuali mencatatkan prestasi yang lemah dengan kejatuhan sebanyak 4.6 peratus. Pasaran ekuiti di rantau Asia seperti di Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina juga merosot sebanyak 4.1 peratus, 2.9 peratus, 3.4 peratus dan 2.6 peratus.

Namun begitu, pasaran saham dilihat mula pulih setelah mengalami kejatuhan yang drastik. Indeks S&P 500 dan Nasdaq melonjak satu peratus kepada 5,240.03 mata dan 16,366.85 mata pada 6 Ogos 2024. Begitu juga dengan indeks FBMKLCI yang meningkat sebanyak 2.5 peratus untuk ditutup pada paras 1,574.39 mata.

Terdapat beberapa faktor yang dikaitkan dengan punca kejatuhan pasaran saham dunia. Antara punca kejatuhan termasuklah kenaikan kadar faedah di negara Jepun dengan bank pusat negara itu telah menaikkan kadar faedah sebanyak 15 mata asas kepada 0.25 peratus pada 31 Julai 2024. Kenaikan ini merupakan kali kedua kadar polisi dinaikkan oleh Bank of Japan (BOJ) dengan Gabenor Kazuo Ueda telah memberikan isyarat bahawa kadar faedah di Jepun bakal dinaikkan lagi pada masa akan datang.

Sehubungan dengan itu, strategi perdagangan pasaran saham seperti “Yen Carry Trade” dilihat telah dihentikan. Perkara ini menyebabkan para pedagang menjual pegangan saham mereka di serata global. Strategi “Yen Carry Trade” yang digunakan oleh para pedagang saham bermaksud mereka akan meminjam dana daripada negara Jepun disebabkan kadar faedah negara tersebut yang rendah dan menggunakan dana itu untuk melabur di negara yang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi bagi mendapatkan keuntungan.

Untuk rekod, kadar polisi di negara Jepun pada masa ini ialah 0.25 peratus manakala di negara Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK), kadar polisi mereka ialah 5.50 peratus, 4.25 peratus dan 5.25 peratus. Perbezaan ketara dalam kadar faedah ini telah memberikan insentif yang tinggi kepada pedagang saham untuk melaksanakan strategi Yen Carry Trade. Apabila pihak BOJ memberikan isyarat bahawa mereka akan menaikkan kadar faedah, hal ini telah menimbulkan suasana panik dalam kalangan para pedagang menyebabkan mereka menjual pegangan yang dimiliki sebelum berlaku kenaikan kadar faedah di Jepun lagi.

Berkemungkinan pihak BOJ menaikkan kadar faedah sememangnya ada. Hal ini demikian kerana kadar inflasi di negara tersebut dilihat meningkat apabila kebanyakan persatuan buruh mendapat persetujuan daripada majikan untuk menaikkan gaji pekerja pada kadar yang agak tinggi. Situasi ini telah memberikan tekanan kepada kadar inflasi yang telah mula naik ke paras 2.8 peratus pada bulan Jun setelah merosot ke paras 2.5 peratus pada bulan April yang lalu. Angka inflasi semasa ini dilihat melebihi sasaran dua peratus yang ditetapkan oleh BOJ. Kebiasaannya, menaikkan kadar faedah merupakan langkah utama yang dilaksanakan oleh bank pusat bagi mengurangkan tekanan inflasi.

Selain itu, kebimbangan terhadap ekonomi negara Amerika Syarikat juga menjadi perhatian utama setelah data pasaran pekerjaan mula menunjukkan tanda bahawa banyak rakyat mereka yang kehilangan pekerjaan. Kadar pengangguran dilihat meningkat secara beransur-ansur daripada 3.8 peratus pada bulan Mac kepada 4.3 peratus pada bulan Julai. Rakyat Amerika Syarikat yang menerima bantuan pengangguran juga meningkat kepada 1.88 juta orang pada 26 Julai 2024 berbanding dengan 1.73 juta orang pada awal Januari 2024. Pasaran pekerjaan merupakan perkara yang penting dalam penilaian ekonomi oleh bank pusat.

Bagi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang merupakan bank pusat negara itu, satu daripada mandat dasar monetari mereka ialah pasaran pekerjaan yang sihat. Oleh itu, apabila peserta pasaran kewangan melihat data pasaran pekerjaan yang kian lemah, wujud suatu tanggapan bahawa pihak Fed bakal mengurangkan kadar faedah bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan sekali gus menggalakkan majikan meningkatkan permintaan terhadap buruh. Apabila kadar faedah direndahkan, tindakan itu boleh mengurangkan kos pembiayaan bagi para peniaga. Mereka boleh menggunakan sumber pembiayaan tersebut untuk membesarkan perniagaan serta menambahkan pekerja bagi memajukan perniagaan.

Sebelum ini, fokus Fed adalah bagi mengurangkan tekanan inflasi yang juga merupakan mandat utama bank pusat. Kadar inflasi di Amerika Syarikat telah mencecah ke paras 7.1 peratus pada bulan Jun 2022 yang merupakan paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun. Perkara ini telah memaksa Fed untuk menaikkan kadar faedah daripada 0.25 peratus pada bulan Mac 2022 ke paras 5.50 peratus pada Julai 2023. Kenaikan ini begitu drastik kerana keperluan untuk meredakan tekanan inflasi.

Sekiranya tekanan inflasi ini tidak dibendung, dikhuatiri inflasi akan menjadi tidak terkawal dan boleh mengakibatkan kuasa beli rakyat menjadi lebih merosot. Hal ini demikian kerana rakyat tidak dapat menggunakan pendapatan yang diterima oleh mereka untuk membeli barang keperluan asas. Setelah kenaikan kadar faedah yang drastik ini dilaksanakan, kadar inflasi mula turun ke paras 2.5 peratus pada bulan Jun 2024. Angka ini memberikan gambaran bahawa Fed telah berjaya mengawal kadar inflasi yang sudah mula merosot dan menghampiri sasaran mereka, iaitu dua peratus.

Kebiasaannya, dasar monetari yang begitu ketat akan memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi disebabkan oleh kos pembiayaan yang mahal. Sekiranya perkara ini berterusan, para peniaga dan isi rumah akan mengalami kesukaran dalam melunaskan hutang mereka. Bagi peniaga pula, insentif untuk membesarkan perniagaan juga terjejas disebabkan oleh pembayaran pembiayaan baharu yang bakal diambil adalah mahal. Di samping itu, suasana ekonomi yang perlahan menyebabkan peniaga lebih berhati-hati dalam mengambil pekerja dan keputusan untuk membesarkan perniagaan terpaksa ditangguhkan.

Oleh itu, dasar monetari ini adalah begitu dinamik kerana dasar ini akan berubah mengikut keadaan ekonomi dan matlamat dasar yang ingin dicapai. Kalau sebelum ini, matlamat dasar adalah untuk mengurangkan tekanan inflasi, matlamat ini boleh dikatakan telah dapat dicapai berdasarkan inflasi yang terkini. Sekarang ini, tanda pertumbuhan ekonomi mula perlahan telah mula jelas kelihatan dan mungkin sudah sampai masanya Fed akan mengubah pendirian dasar monetari bagi mencapai matlamat dasar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

Meskipun demikian, para peserta pasaran kewangan dilihat bimbang sekiranya momentum ekonomi yang perlahan akan mewujudkan situasi ekonomi meleset. Hal ini demikian kerana kesan perubahan atau transmisi dasar monetari kepada ekonomi akan mengambil masa yang agak lama. Mengikut kajian ilmiah, tempoh transmisi dasar monetari adalah sekitar 12 hingga 18 bulan.

Kemelesetan ekonomi ialah suatu keadaan, iaitu jumlah output atau pengeluaran dalam sesebuah negara itu merosot dengan pertumbuhan negatif akan dicatatkan melalui angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). KDNK ini merupakan suatu pemboleh ubah ekonomi yang mengukur jumlah pengeluaran barang dan perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi.

Apabila pertumbuhan positif dicatatkan, ekonomi tersebut dikatakan dalam keadaan yang baik. Sebaliknya, jika pertumbuhan negatif dicatatkan, ekonomi tersebut dikatakan lemah. Hal ini demikian kerana input seperti buruh, mesin dan teknologi penting bagi menghasilkan pengeluaran. Sekiranya pengeluaran berkurangan, hal ini bermakna input yang digunakan juga kurang termasuklah penggunaan buruh. Dalam erti kata lain, pertumbuhan ekonomi yang negatif akan menaikkan kadar pengangguran.

Sehubungan dengan itu, kebimbangan kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat menjadi faktor utama pasaran saham global menjadi begitu lemah. Pasaran saham adalah bersifat prospektif dengan bergerak berasaskan jangkaan. Jangkaan ini termasuklah jangkaan pertumbuhan ekonomi yang memberikan kesan langsung kepada keuntungan syarikat yang disenaraikan.

Umumnya, pasaran saham akan bergerak awal daripada prestasi sebenar ekonomi, iaitu sekitar enam bulan. Hal ini bermakna pasaran saham mempunyai suatu daya untuk memberikan isyarat kepada hala tuju pertumbuhan ekonomi. Oleh hal yang demikian, semua orang sama ada peniaga, individu atau mereka yang sudah berkeluarga perlu cakna tentang berita serta perkembangan semasa pasaran saham global bagi merancang kewangan dengan lebih baik.

Penulis merupakan Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi