Oleh Rashid Ating
19 Ogos 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia dalam persiapan memasuki negara menua (aging nation) menjelang tahun 2030 dan dijangkakan lebih ramai penduduk akan menamatkan tempoh perkhidmatan dalam sektor kerajaan dan swasta, sekali gus bergelar pesara. Rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas hanya terdiri daripada 4.6% pada tahun 1957 dan selepas lebih enam dekad, telah meningkat kepada 10.6%. Dengan peningkatan jangka hayat daripada 58 tahun pada tahun 1957 kepada 75 tahun pada tahun 2018, golongan tua pada masa kini mampu untuk hidup lebih lama.

Peningkatan dari segi umur persaraan, malangnya tidak sepadan dengan peningkatan jangka hayat golongan pesara di negara ini. Walaupun kehidupan selepas persaraan secara puratanya hanya kira-kira dua tahun pada tahun 1957, jurang ini telah meningkat kepada 15 tahun menjelang tahun 2018, dengan mengambil kira 60 tahun adalah umur persaraan semasa. Ini menyebabkan wujudnya satu tempoh masa yang panjang, iaitu tenaga dan kepakaran tertentu yang dimiliki pesara yang mungkin berguna tidak diterokai atau digunakan secara optimum. Semasa melalui fasa ini, pesara dari kedua-dua sektor, sama ada awam mahupun swasta sama-sama berisiko untuk mengalami kemerosotan kesihatan mereka, yang menunjukkan mereka memerlukan lebih banyak sokongan sosial dan penjagaan kesihatan yang mencukupi untuk terus kekal sihat.

Mereka yang berumur 65 tahun dan ke atas adalah sekitar 2.23 juta orang pada tahun 2018. Pada beberapa tahun akan datang, jumlah ini diunjurkan akan terus meningkat. Apabila individu mencapai umur 60 tahun, permintaan untuk menggaji semula mereka adalah sangat rendah. Mereka juga akan menjadi tidak cekap untuk memenuhi tuntutan kerja sekarang yang lebih tertumpu kepada data besar (big data), analisis data dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Tambahan pula, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyatakan kebanyakan pesara kebiasaanya akan kehabisan simpanan sepanjang hayat mereka di akaun simpanan KWSP dalam tempoh lima tahun selepas bersara. Selain itu, ramai pesara berpendapatan rendah dikatakan mempunyai kurang daripada RM50,000 apabila bersara kelak. Perkara ini turut disokong apabila terdapat banyak kajian di luar negara telah menunjukkan bahawa pekerja yang berpendapatan rendah sering terjejas dari segi kewangan selepas bersara. Akibatnya, ramai pesara terus mencari peluang untuk menjana pendapatan lebih demi menyara diri dan keluarga, walaupun menerima bayaran pencen bulanan.

Penjawat awam layak untuk memperoleh pencen bulanan dan mereka akan dibayar caruman persaraan (akan dibayar sekali gus) apabila bersara nanti. Oleh yang demikian, memperoleh caruman pencen pada akhir perkhidmatan mereka sering menjadi motivasi utama golongan awam ingin bekerja dengan kerajaan. Adalah menjadi kebiasaan selepas bersara penjawat awam tersebut akan berkongsi caruman wang simpanan persaraan mereka bersama-sama dengan keluarga mereka.

Perkara yang paling kerap dilakukan oleh bekas penjawat awam tersebut ialah membelanjakan wang caruman simpanan persaraan mereka untuk membeli hartanah, menyelesaikan perjanjian gadai janji, atau digunakan untuk majlis perkahwinan anak-anak mereka. Akibatnya, ramai penjawat awam kehabisan wang caruman simpanan persaraan mereka dan terpaksa bergantung kepada pencen bulanan mereka untuk menyara hidup.

Majoriti penjawat awam menduduki jawatan yang rendah dalam perkhidmatan sektor awam.  Tambahan pula, mereka yang berpendapatan rendah cenderung untuk mempercayai bahawa pendapatan pencen bulanan mereka akan mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka pada masa hadapan. Secara amnya, kumpulan ini mempunyai tahap celik kewangan yang rendah, menyebabkan mereka mempunyai simpanan yang lemah, menjerumuskan mereka membuat pembayaran gadai janji yang tidak stabil, perancangan persaraan yang lemah dan lain-lain.

Bank Negara Malaysia mendedahkan bahawa kira-kira separuh daripada gaji atau pendapatan penjawat awam yang berjawatan dan berpendapatan rendah dibelanjakan untuk membiayai hutang, menyebabkan mereka tidak dapat menyediakan diri untuk menghadapi situasi yang tidak dijangka. Mereka membelanjakan 47% daripada pendapatan mereka untuk pembiayaan peribadi, kenderaan bermotor, kad kredit dan lain-lain, iaitu jauh lebih tinggi daripada purata nasional sebanyak 35%. Menurut sumber yang sama, hutang utama penjawat awam adalah pembiayaan peribadi (34%) dan komitmen perumahan (49%). Maka, perancangan persaraan yang lemah akan menyebabkan kesan buruk kepada kesejahteraan mereka selepas bersara nanti.

Makalah ini bertujuan untuk mengenal pasti sejauh mana perancangan persaraan yang dibuat oleh penjawat awam yang berpendapatan rendah dalam menyediakan mereka untuk kehidupan selepas bersara; menentukan nisbah penjawat awam yang mempunyai rancangan untuk terus bekerja selepas bersara; menganalisa tahap jangkaan kestabilan kewangan mereka dalam tempoh selepas persaraan; dan menentukan tahap kesediaan mereka untuk menghadapi kehidupan selepas bersara.

Berdasarkan dapatan kajian dalam kalangan penjawat awam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor dan Putrajaya, jika diberikan pilihan, skim pencen lebih dipilih berbanding dengan skim lain kerana jaminan untuk mendapatkan pendapatan bulanan yang stabil, jaminan pekerjaan dan menikmati faedah selepas bersara.

Kajian menunjukkan 46% memasang niat untuk terus bekerja selepas bersara. Kira-kira enam daripada 10 orang penjawat awam merancang untuk bekerja sehingga lima tahun selepas persaraan rasmi daripada perkhidmatan. Antara sebab utama ialah kekurangan simpanan, keperluan untuk menyokong pendidikan anak-anak, memiliki kesihatan yang baik dan masih berminat untuk bekerja.

Jangkaan pendapatan selepas bersara didapati tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan yang kebanyakannya dibelanjakan untuk makanan dan pembayaran balik pinjaman. 21% daripada penjawat awam merasakan simpanan mereka hanya bertahan setahun. Manakala baki 63% mendakwa mereka akan mempunyai simpanan yang mencukupi untuk lima tahun mendatang.

Majoriti penjawat awam yang ditemui tidak mengetahui atau tidak mempunyai idea mengenai Skim Persaraan Swasta (Private Retirement Scheme), dan mereka ingin menyumbang sekiranya diberikan peluang. Kebanyakan penjawat awam yang disoal selidik bertanya mengapa mereka tidak dibenarkan untuk terus mencarum ke dalam KWSP atau Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) apabila memilih skim pencen.

Secara keseluruhannya, hanya 8% daripada penjawat awam yang disoal selidik mempunyai perancangan persaraan yang baik dan penilaian menunjukkan kurang daripada satu peratus bersedia untuk kehidupan selepas bersara. Angka ini sememangnya cukup membimbangkan. Kekurangan sokongan untuk penjawat awam akan membawa mereka ke jurang kemiskinan atau keadaan kehidupan yang sukar selepas bersara nanti.

Terdapat keperluan untuk memperkukuh perlindungan sosial dan kesejahteraan penjawat awam. Ini boleh dilakukan dengan membenarkan pekerja terus mencarum dalam KWSP atau KWAP walaupun mereka telah berpindah ke skim pencen. Sumbangan sukarela yang dicadangkan oleh pekerja adalah sekitar enam peratus. Ini untuk dilaksanakan dalam kadar yang segera kepada penjawat awam yang masih dalam tempoh perkhidmatan.

Seterusnya, tahap celik kewangan dan kesedaran para penjawat awam perlu dipertingkatkan dengan menggalakkan pengeluaran simpanan dalam KWSP secara berperingkat selepas bersara; menggalakkan penyertaan penjawat awam dalam skim anuiti; menegaskan bahawa simpanan KWSP mereka hanyalah bertujuan untuk mengekalkan kehidupan penjawat awam selepas mereka bersara nanti, bukan digunakan untuk tujuan lain; membimbing penjawat awam untuk mengira jumlah pencen yang dijangkakan akan diterima; dan merancang untuk kesihatan dan perlindungan perubatan yang lebih baik.

Selain itu, umur persaraan disyorkan dilanjutkan kepada 62 tahun dan pekerja harus diberikan peluang untuk memilih atau menolaknya. Lanjutan umur persaraan akan membantu mereka menambah sokongan kewangan dalam kehidupan selepas bersara.

Jabatan Perkhidmatan Awam dicadangkan untuk menyediakan ‘Buku Panduan Persediaan Persaraan Berkesan’ merangkumi perancangan kewangan dari awal perkhidmatan serta mengadakan kursus ulang kaji setiap 10 tahun perkhidmatan. Di samping itu, kajian terperinci mengenai perancangan persaraan dan kesediaan untuk bersara terutamanya kepada kakitangan PBT di seluruh negara harus dijalankan dari semasa ke semasa. Hal ini demikian kerana kajian menunjukkan kumpulan yang paling terdedah kepada kesan selepas tamat persaraan wajib dalam kalangan penjawat awam ialah pekerja PBT. Jabatan Sumber Manusia di organisasi masing-masing bertanggungjawab untuk menjalankan program latihan bersepadu untuk melaksanakan inisiatif di atas. Penjawat awam perlu didedahkan dengan kursus mengenai dasar-dasar berkaitan persaraan, kursus persediaan sebelum persaraan dan pendedahan peluang kerjaya selepas bersara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.