Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRealiti masa kini, sebilangan generasi muda terdorong untuk berhutang dalam memenuhi kehendak dan kemahuan kehidupan mereka. Mereka gagal untuk mengawal kehendak dan kemahuan hanya semata-mata untuk tampil bergaya dan berlagak kaya di hadapan orang lain terutamanya di media sosial walaupun sebenarnya tidak berkemampuan. Bak kata pepatah, ‘Biar papa, asal bergaya’ yang sinonim digunakan bagi menggambarkan kehidupan sebilangan masyarakat yang sanggup miskin wang semata-mata untuk pura-pura kaya.
Tindakan generasi muda yang sanggup membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk tampil bergaya dan berlagak kaya boleh menjerat diri mereka sendiri kerana beban pembayaran balik hutang pinjaman tersebut. Pinjaman itu akan ditanggung hingga ke akhir hayat sekiranya gagal dibayar dalam tempoh yang ditetapkan, apatah lagi bagi mereka yang telah mempunyai komitmen pinjaman lain seperti pinjaman sewa beli kenderaan dan pinjaman perumahan. Lebih parah lagi apabila ada yang gagal membayar hutang pinjaman peribadi mereka sehingga diisytihar bankrap.
Berdasarkan kepada 49,133 kes kebankrapan yang ditadbir Jabatan Insolvensi dari tahun 2018 hingga tahun 2023, hutang pinjaman peribadi yang gagal dilunaskan menjadi faktor utama yang menyebabkan mereka ini jatuh bankrap, iaitu sebanyak 42.24 peratus bersamaan dengan 20,754 kes. Majoriti mereka yang bankrap, iaitu 63.67 peratus (5,453 orang) mempunyai hutang antara RM100,000 dan RM499,999. Seramai 22 peratus (1,884 orang) mempunyai hutang antara RM50,000 dan RM99,999, 8.17 peratus (700 orang) antara RM500,000 dan RM999,999, 5.22 peratus (447 orang) RM1 juta ke atas dan selebihnya, 0.95 peratus (81 orang) RM30,000 hingga RM49,999.
Golongan ini sering hanyut atas nama ‘tidak mahu ketinggalan zaman’ dan mahu sentiasa tampil terkini dalam gaya hidup mereka walau hakikatnya mereka sebenarnya tidak berkemampuan. Kadang-kadang apabila berkumpul bersama rakan sebaya atau ketika melayari media sosial, timbul rasa cemburu melihat rakan-rakan lain tampil dengan kereta mewah, telefon pintar mewah model terkini, pakaian berjenama, beg tangan berjenama, jam tangan berjenama dan kasut berjenama mewah. Akibatnya, timbul ‘nafsu’ untuk tidak mahu mengalah kepada rakan sebaya dan mahu turut bersaing dengan mereka sehingga terjebak dengan hutang.
Situasi meminjam semata-mata untuk tampil bergaya dan berlagak kaya menunjukkan kecelaruan minda sebilangan generasi muda seperti ini kerana sanggup berhutang demi perkara yang tidak perlu. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak mempunyai simpanan wang kerana terpaksa membayar pinjaman peribadi yang dilakukan. Malah, lebih membimbangkan apabila ketagihan untuk tampil bergaya dan berlagak kaya tersebut gagal dikawal sehingga mereka terperosok dalam situasi ‘Sudah terhantuk baru terngadah’.
Statistik kebankrapan di atas haruslah dijadikan peringatan untuk generasi muda agar terus berpegang kepada pepatah, ‘Ukur baju di badan sendiri’ dan buatlah pertimbangan yang sewajarnya supaya dapat mengelakkan diri dari terjebak ke kancah hutang yang mahal. Tidak dinafikan manusia mempunyai naluri kehendak dan kemahuan yang tiada terbatas. Tidak pelik jika ada manusia yang sering berkehendak dan berkemahuan untuk memiliki sesuatu yang di luar kemampuan. Namun demikian, perlu sedar tentang kemampuan dan kedudukan kewangan masing-masing dahulu.
Pilihlah untuk tidak terikut-ikut dan berlumba-lumba dalam mengejar gaya hidup mewah kerana seseorang itu boleh mengawal pemikirannya sendiri. Pengawalan fikiran amat penting bagi mengelakkan tindakan susulan yang terburu-buru tanpa berfikir panjang lalu mengakibatkan kesan negatif kepada diri sendiri. Pengawalan fikiran sangat berkait rapat dengan kemampuan seseorang untuk menyoal dan menjawab dengan jujur kepada diri sendiri tentang sesuatu tindakan yang akan dilakukan. ‘Apakah ini yang sepatutnya saya lakukan?’ antara soalan yang boleh ditanya kepada diri sendiri sebelum mengambil keputusan untuk berhutang, apatah lagi sekiranya hutang tersebut dalam amaun yang besar.
Kemampuan untuk sentiasa bersoal jawab dengan diri sendiri dapat membantu menundukkan godaan ‘nafsu’. Objektif utama ialah supaya akal fikiran dapat mengatasi hawa nafsu. Sesungguhnya dorongan hati yang kuat hanya dapat diatasi dengan disiplin diri dalam mengawal fikiran. Harus diingat bahawa hawa nafsu berpotensi untuk memperdaya dan menarik diri seseorang ke arah kejahatan. Hawa nafsu akan terus berusaha menghasut dan mempengaruhi diri seseorang secara berterusan sehinggalah sesuatu kejahatan tersebut dilakukan.
Justeru, seseorang itu haruslah sentiasa berjuang melawan hawa nafsu. Kendali hawa nafsu dengan menyekat apa-apa yang menjadi kebiasaannya dan mengarah fikiran untuk selalu menentangnya pada setiap waktu. Apabila ini berjaya dilakukan, maka seseorang itu tidak lagi terdorong untuk melakukan sesuatu perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan. Penyerahan diri kepada sesuatu perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan seperti berbelanja melebihi pendapatan menunjukkan kegagalan seseorang dalam mengendali fikiran sendiri lalu menyebabkannya tewas kepada godaan hawa nafsu.
Apabila manusia sering terpengaruh dengan godaan nafsu, maka kehendak dan kemahuan mereka menjadi tidak terbatas dan sukar dikawal. Tanpa rasa bersalah mereka berbelanja ‘mengikut telunjuk’ kehendak dan kemahuan hawa nafsu serta bukan sekadar memenuhi keperluan sahaja. Semuanya dilakukan dek kerana ingin menandingi dan menyaingi orang lain, di samping mengharapkan pandangan yang tinggi dari orang lain. Mereka lupa semuanya hanyalah kepuasan dan kemegahan yang bersifat sementara.
Seiring dengan peredaran masa, apa-apa yang dimiliki tersebut akan diakhiri dengan rasa bosan. Selepas itu, timbul pula keinginan untuk berkehendakkan dan berkemahuan kepada benda yang lain pula. Bagi manusia yang sebegini, jika sesuatu kehendak atau kemahuan itu tidak dapat dipenuhi, jiwa mereka akan menderita, berdukacita dan memberontak. Perkara ini diam-diam mewujudkan sikap materialistik ke dalam diri mereka sehingga menjadi terlalu taksub kepada kebendaan.
Segalanya bergantung pada diri sendiri sama ada memilih untuk berhutang atau tidak. Fikirkan tentang kesukaran atau kepayahan yang akan dilalui pada masa hadapan dek kerana tindakan yang dilakukan pada hari ini. Sememangnya hutang memberikan kesan yang mendalam kepada setiap orang yang terbabit. Hidup berhutang boleh mengganggu emosi sehingga boleh menyebabkan kecelaruan fikiran, hilang tumpuan kerja dan sukar tidur. Hutang menyebabkan seseorang itu hidup dalam kegelisahan. Hal ini sdemikian kerana si penghutang turut berisiko menjalani kehidupan dengan status muflis atau bankrap serta mencalarkan reputasi diri.
Sebaik-baiknya orang yang ingin berhutang mestilah ada hajat atau keperluan yang mendesak, bukannya untuk bermewah atau bermegah. Jika tiada keperluan yang mendesak, janganlah berhutang. Jangan kerana ingin memenuhi kehendak dan kemahuan hawa nafsu serta mahukan pujian daripada rakan sebaya atau di media sosial, seseorang itu sanggup berhutang berpuluh atau beratus ribu yang akhirnya menyusahkan diri sendiri.
Kawal akal fikiran untuk tundukkan hawa nafsu. Bezakan yang mana satu keperluan mendesak dan yang mana satu bukan. Seseorang itu juga boleh membeli apa-apa sahaja benda yang dikehendaki atau dimahukan tanpa perlu berhutang. Sebab itu pentingnya kesedaran diri untuk tidak meletakkan penanda aras ‘Biar papa, asal bergaya’ dalam kehidupan kerana bukan itu matlamat hidup manusia yang sebenarnya. Hiduplah dengan kesederhanaan untuk kesenangan pada masa hadapan. Keghairahan untuk menonjolkan gaya hidup mewah boleh membawa kesan buruk terhadap kewangan peribadi dan masa depan.
Justeru, adalah penting bagi generasi muda untuk lebih bijak dalam menguruskan kewangan dan memahami bahawa tidak semua yang ditunjukkan rakan sebaya ketika berkumpul bersama mereka atau di media sosial adalah realiti. Generasi muda diseru untuk mengambil pengajaran supaya tidak berbuat sesuatu untuk tampil bergaya dan berlagak kaya, tapi hakikatnya hutang keliling pinggang.