Diterbitkan pada 7 Ogos 2024, 17:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ihsan gambar daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak

Kuala Kangsar – Universiti Sultan Azlan (USAS) bersama-sama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar; Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) telah menganjurkan Karnival Keselamatan Makanan dan Keusahawanan dalam usaha membudayakan ilmu bersama komuniti.

Karnival yang julung kali diadakan ini bertemakan “Entrepreneur Muda USAS dan Usahawan Perak, Perintis Keselamatan Makanan Masa Depan”.

YB Tuan Sivanesan a/l Achalingam, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak menyempurnakan majlis perasmian penutupan serta menyampaikan hadiah dan sijil kepada pemenang.

Sewaktu lawatan ke tapak pameran, beliau dan tetamu jemputan teruja dengan bakat kreatif pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II, Kuala Kangsar, Muhammad Sufi Sufian 11 tahun yang berjaya menghasilkan buku komik Jom Terokai Sejarah Tahun 4.

Dalam ucapan alu-aluan, Prof Dato’ Dr Ahamed Kameel bin Mydin Mreera, Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Penyelidikan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berkongsi pencapaian USAS yang bermula sebagai Kolej Islam Perak di Ipoh, Perak.

USAS berkembang pesat setelah menerima sumbangan tanah di Bukit Chandan daripada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan ini telah membantu USAS menambahkan bilangan kursus dan pelajar serta mewujudkan ruang untuk komuniti berkongsi pembudayaan ilmu.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan, iaitu sesi ceramah, bual bicara, pemeriksaan kesihatan serta pameran yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Sesi bual bicara oleh panel tentang keselamatan makanan.

Aktiviti seperti pertandingan komik yang bertemakan keselamatan makanan; penggunaan video kecerdasan buatan (AI) dan poster AI mendapat sambutan baik yang melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah serta pelajar USAS.

Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia turut menyediakan maklumat dalam membantu pemain industri makanan mendapatkan pengesahan sijil halal yang boleh membantu usahawan menembusi pasaran yang lebih luas.

Karnival ini telah diadakan dengan jayanya dari 5 hingga 6 Ogos 2024 bertempat di kampus USAS.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi