Oleh Hafizul Osman
31 Julai 2024, 17:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kangsar – Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Perak telah menganjurkan Bicara Santai Anak Muda dengan tajuk “Pengurusan Kewangan Milik Aset di Usia Muda” hari ini.

Program ini telah membawakan Che Nurul Khairunisa Che Kadir dari HOME Terapi Matematik dan Nor Najiha Azmy dari Lauryl Financing Exper sebagai ahli panel.

Menurut Nor Najiha yang berpengalaman dalam bidang hartanah, beliau menyarankan anak muda mempunyai strategi awal jika ingin memiliki aset terutamanya rumah.

Anak muda perlu mempunyai sasaran rumah yang ingin dibeli dan juga jumlah  yang mampu dibayar. Membeli rumah pada usia muda adalah bagus dengan syarat rumah yang dibeli hendaklah tidak mahal, berada di bawah harga pasaran dan pembelian rumah itu bukan untuk diduduki.

Tambah Nor Najiha, “Kesilapan anak muda pada masa kini adalah memiliki kad kredit dan pinjaman peribadi. Kedua-dua ini menjadikan anak muda mudah diisytiharkan bankrap oleh pihak bank.”

Ujar beliau lagi,

Pinjaman yang sesuai untuk membina profil kewangan ialah pinjaman pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB). Pinjaman sebegini agak menguntungkan kerana peminjam akan mendapat kembali modal yang ada dan seterusnya menjadi tabungan masa hadapan kepada anak muda itu sendiri.

Bagi Che Nurul Khairunisa pula, setiap anak muda perlu tahu kemampuan diri dan elakkan daripada hutang jahat. Beliau menggunakan perlambangan sandwic, iaitu roti diibaratkan sebagai hutang, manakala inti diibaratkan sebagai diri. Inti tersebut diapit dengan dua keping roti menjadikan inti itu menjadi tersepit.

Anak muda perlu berdisiplin dalam menguruskan gaji sendiri dengan membahagikan gaji itu kepada tiga bahagian, iaitu keperluan, simpanan dan infak. Simpanan dalam bentuk emas ialah simpanan yang paling sesuai kerana harga emas akan terus meningkat dan boleh dijadikan sebagai pelaburan jangka panjang yang menguntungkan.

Program ini telah diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak bersempena dengan Karnival Pendidikan Tinggi 2024 anjuran USAS bersama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.