Diterbitkan pada 11 Julai 2024, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya   Jumlah penganggur pada bulan Mei 2024 terus menurun kepada 566,100 orang berbanding dengan 566,400 orang pada bulan sebelumnya, dengan kadar pengangguran kekal 3.3 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi siaran Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Mei 2024 melaporkan bahawa kadar pada bulan Mei 2024 kekal, dengan bilangan penganggur terus menurun kepada 566.1 ribu orang.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, kedudukan ekonomi yang optimis pada bulan Mei lalu membolehkan pasaran buruh negara terus berkembang dengan stabil.

Jelas beliau, “Bilangan tenaga buruh pada bulan tersebut terus mengukuh sebanyak 0.1 peratus dengan merekodkan 17.15 juta orang berbanding dengan bulan April, iaitu sebanyak 17.12 juta orang, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.3 peratus, seperti yang direkodkan pada bulan sebelumnya”.

Tambah beliau,

Bilangan penduduk bekerja pada bulan Mei 2024 kekal dalam trend positif, dengan peningkatan dari bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.58 juta orang berbanding dengan 16.56 juta orang pada April 2024.

Kategori pekerja pula merangkumi 75.1 peratus daripada jumlah penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.44 juta orang pada bulan Mei dan kategori penduduk bekerja sendiri juga terus berada pada trend menaik, dengan pertambahan sebanyak 0.3 peratus kepada 3.05 juta orang.

Mengulas lanjut, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir berkata, “Dari segi sektor ekonomi pula, hampir dua pertiga penduduk bekerja yang tertumpu dalam sektor perkhidmatan terus menunjukkan peningkatan, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman; dan maklumat dan komunikasi”.

Jelas beliau, pada masa yang sama, sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga merekodkan pertambahan dalam guna tenaga.

Kata beliau dalam satu kenyataan oleh DOSM semalam bahawa mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif merangkumi 79.9 peratus daripada jumlah penganggur yang menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 452,000 orang berbanding dengan bulan April 2024, iaitu 451,400 orang.

Bagi tempoh pengangguran untuk kategori penganggur aktif pula, 61.5 peratus ialah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.8 peratus ialah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang yang melebihi setahun.

“Penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia turun sebanyak 0.8 peratus kepada 114,000 orang daripada 115,000 orang bulan sebelumnya,” kata YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir.

Sementara itu, beliau juga berkata bahawa kadar pengangguran bagi belia yang berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.1 peratus kepada 10.5 peratus pada Mei 2024, merekodkan sebanyak 305,600 orang penganggur belia berbanding dengan 305,900 orang pada April.

Tambah beliau, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun pula kekal, iaitu pada 6.5 peratus dengan 434,600 orang berbanding pada bulan bulan April, iaitu sebanyak 434,900 orang.

“Berikutan aktiviti ekonomi dan perniagaan yang terus rancak telah menyumbang kepada pewujudan lebih banyak pekerjaan serta peluang pendapatan dalam ekonomi, sekali gus akan menggalakkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran,” katanya.

Selain itu, prestasi indeks pelopor negara juga terus mencatatkan peningkatan, sekali gus memberikan isyarat bahawa ekonomi Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan berterusan dalam tempoh terdekat.

Justeru pasaran buruh dijangka akan terus berada di landasan yang stabil pada bulan-bulan akan datang, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan, kedudukan ekonomi domestik yang semakin berkembang serta pemulihan sektor luaran.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi