11 Julai 2024, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus dalam mesyuarat, hari ini.

Kadar OPR ini selaras dengan keadaan ekonomi yang kukuh dan kekal menyokong pertumbuhan selain pembiayaan terus tersedia dengan pertumbuhan kredit yang mampan.

Menurut BNM, ekonomi Malaysia terus berkembang didorong oleh pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan serta langkah-langkah dasar yang menyokong perbelanjaan isi rumah.

Selain itu, prestasi eksport yang lebih baik disokong oleh peningkatan perdagangan global yang bertambah baik.

“Malaysia bakal menghadapi peningkatan ketibaan dan perbelanjaan pelancong yang akan memberikan manfaat kepada perniagaan tempatan. Projek pelaburan swasta dan awam menunjukkan perkembangan yang baik, seterusnya menyokong aktiviti pelaburan,” jelas BNM.

Katanya lagi, inisiatif tersedia yang diambil oleh Kerajaan dan BNM dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) memberikan kesan positif bagi membendung tekanan terhadap nilai ringgit.

Prospek ekonomi Malaysia dijangka terus bertambah baik. Inflasi juga dijangka meningkat sedikit susulan rasionalisasi subsidi baru-baru ini, namun kenaikan inflasi masih terkawal berikutan langkah pengurangan yang dilaksanakan bagi meminimumkan kesan kos terhadap perniagaan. Aktiviti perdagangan global yang lebih kukuh akan terus menyokong eksport negara berikutan kedudukan Malaysia yang menggalakkan dalam rantaian bekalan semikonduktor.

Kadar OPR semasa ini akan terus menyokong pertumbuhan dan pada masa yang sama mengawal inflasi. BNM juga akan terus memantau trajektori pertumbuhan dan trajektori inflasi dalam negeri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.