Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAustralia menjadi negara yang menyelaraskan gaji minimum yang paling tinggi di dunia, iaitu dengan kadar RM70.27 sejam. Kedudukan itu diikuti dengan negara kecil, Luxembourg dengan kadar RM68.72 sejam dan di kedudukan ketiga, iaitu Belanda dengan gaji minimum sejam ditetapkan pada kadar RM63.99.
Jika dihitung berdasarkan tempoh bekerja seorang pekerja (kira-kira 40 jam setiap minggu) – dianggarkan bahawa setiap pekerja di ketiga-tiga buah negara tersebut bakal menerima gaji lingkungan RM10,000 sebulan. Jumlah ini sudah tentulah jauh lebih tinggi, iaitu kira-kira enam kali ganda berbanding dengan kadar upah minimum di Malaysia.
Di Malaysia, kerajaan pada Julai 2023 menetapkan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan melibatkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima orang pekerja. Pelaksanaan gaji minimum baharu itu telah diluluskan kerajaan pada 19 Mac 2022 dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 27 April 2022. Oleh hal yang demikian, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menguatkuasakan perkara tersebut untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih bermula 1 Mei 2022.
Walau bagaimanapun, pada bulan Mei lalu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mencadangkan agar Malaysia menetapkan kadar gaji minimum di negara ini pada kadar RM2,102 sebulan berbanding dengan RM1,500 pada ketika ini. Dalam laporan “The Living on the Edge Key Findings”, UNICEF mendedahkan bahawa perlu ada penetapan kadar gaji yang lebih adil, iaitu dengan mengambil kira faktor utama seperti kos sara hidup, pendapatan garis kemiskinan dan produktiviti.
“Pengiraan menunjukkan bahawa gaji minimum perlu ditetapkan pada kadar RM2,102 sebulan, bukannya RM1,500 sebulan pada masa ini. Gaji sara hidup semasa seperti yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) juga ialah RM2,700,” menurut laporan tersebut.
UNICEF dalam penemuan kajiannya turut mencadangkan beberapa dasar yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan, iaitu elaun penjagaan kanak-kanak sejagat sebanyak RM200 sebulan untuk semua ibu mengandung hingga kanak-kanak berusia dua tahun. Menurut laporan tersebut, penyaluran sokongan kewangan itu akan menjadi langkah pertama dalam pengembangan progresif lantai perlindungan sosial untuk kanak-kanak di Malaysia. UNICEF juga mencadangkan elaun sejagat untuk orang kurang upaya dan pada masa yang sama, elaun juga perlu disediakan kepada penjaga utama dalam kalangan ahli keluarga orang kurang upaya yang terlibat.
Sementara itu, kerajaan juga disarankan untuk menambah baik bantuan sosial termasuklah yang membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Hal ini dikatakan demikian kerana wujud keperluan untuk JKM menyalurkan bantuan kepada mereka yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan, atau mereka yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM2,589 (RM681 per kapita). Mengikut rekod, pada masa ini bantuan hanya diberi kepada isi rumah dengan pendapatan sebanyak RM1,198 sebulan (RM315 per kapita).
Pada tahun 2023, menurut Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah (HES), pendapatan isi rumah penengah tumbuh sederhana, iaitu sebanyak 2.5 peratus setahun pada tahun 2022 kepada RM6,338. Pendapatan isi rumah purata pula meningkat 2.4 peratus setahun kepada RM8,479. Nilai pendapatan ini mengambil kira purata saiz isi rumah sebanyak 3.8 orang dengan purata 1.8 orang penerima pendapatan.
Pendapatan penengah merupakan nilai pertengahan apabila isi rumah disusun secara menaik mengikut nilai terendah hingga nilai tertinggi. Sementara itu, pendapatan purata pula diperoleh dengan menjumlahkan semua pendapatan isi rumah dan dibahagikan dengan bilangan isi rumah.
Apakah pula yang dimaksudkan dengan pendapatan isi rumah? Pendapatan isi rumah ialah pendapatan kasar (termasuklah gaji, komisen dan elaun lain) untuk isi rumah (suami dan isteri sahaja). Di Malaysia, pendapatan isi rumah di Malaysia dikelaskan kepada tiga golongan, iaitu isi rumah yang memperoleh pendapatan 40 peratus terendah, daripada jumlah keseluruhan pendapatan rakyat Malaysia (B40), Isi rumah yang memperoleh pendapatan 41 peratus kepada 80 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan rakyat Malaysia (M40), dan isi rumah yang memperoleh pendapatan 20 peratus tertinggi daripada jumlah keseluruhan pendapatan rakyat Malaysia (T20).
Dari sudut corak agihan pendapatan pula, had pendapatan B40 yang merangkumi 3.16 juta isi rumah ialah sebanyak RM5,249. Kumpulan M40 pula merekodkan julat pendapatan antara RM5,250 hingga RM11,819. Sementara itu, sebanyak 1.58 juta isi rumah berada dalam kumpulan T20 dengan pendapatan melebihi RM11,820.
Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia atau Malaysia Productivity Corporation (MPC), Malaysia boleh mencapai sasaran meningkatkan produktiviti yang berupaya membawa kepada gaji yang tinggi kepada rakyat dengan menambah baik kedudukan negara dalam tiga indeks utama. Tiga indeks itu ialah Indeks Pembangunan Sumber Manusia, Indeks Teknologi Digital dan Indeks Daya Saing Global.
Dalam hal ini, sudah tentu peningkatan kemahiran yang perlu diutamakan, iaitu rakyat perlu membabitkan diri dalam pendidikan formal dan tidak formal untuk memperoleh pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan untuk kekal bersaing di pasaran pekerjaan yang sentiasa dinamik. Hal ini diikuti dengan penerimaan sains dan teknologi dengan syarikat perlu memahami dan menggunakan secara menyeluruh kaedah pengurusan moden, teknologi digital, automasi serta mekanikal untuk meningkatkan kecekapan pekerja yang seterusnya peningkatan prestasi syarikat. Tidak ketinggalan, pembuat dasar juga perlu memastikan agar dasar dan peraturan yang dikuatkuasakan adalah tidak membebankan rakyat serta syarikat.
Seiring dengan kos sara hidup yang tinggi dan ditambah pula dengan kemelesetan ekonomi serta kesan inflasi yang melanda dunia dan negara, Malaysia pastinya akan mengikut jejak banyak negara dengan melaksanakan gaji minimum secara menyeluruh yang lebih tinggi pada masa akan datang. Hal ini dibuktikan apabila pada bulan April lalu, kerajaan mengumumkan gaji penjawat awam di negara ini naik lebih daripada 13 peratus, iaitu kadar kenaikan yang tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam di negara ini. Langkah awal ini pastinya tidak akan berakhir di sini kerana pekerja swasta sudah tentu turut menantikan khabar gembira yang sama daripada kerajaan.