Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam era moden yang mementingkan kepelbagaian dan integrasi, kemudahan pengangkutan merupakan satu aspek yang penting untuk memastikan semua lapisan masyarakat dapat mengakses kemudahan awam dengan mudah. Bagi golongan kurang upaya, hal ini sering menjadi cabaran utama apabila kebanyakan kenderaan tidak direka khas bagi memenuhi keperluan mobiliti mereka.
Orang kurang upaya (OKU) sering menghadapi pelbagai cabaran dalam penggunaan kenderaan, terutamanya kereta yang boleh menjejaskan kehidupan harian mereka. Satu daripada cabaran utama ialah kekurangan aksesibiliti. Ramai OKU mengalami kesukaran untuk masuk dan keluar dari kenderaan, lebih-lebih lagi jika kenderaan tersebut tidak dilengkapi dengan kemudahan yang sesuai seperti tanjakan (ramp) atau lif. Hal ini menjadi lebih sukar jika OKU menggunakan kerusi roda atau alat bantuan mobiliti yang lain.
Selain itu, tempat letak kereta khas untuk OKU sering kali tidak mencukupi atau tidak berada di lokasi yang strategik. Adakalanya tempat letak kereta ini digunakan oleh individu yang tidak layak yang menyebabkan OKU terpaksa meletakkan kenderaan di tempat yang jauh, yang menyukarkan pergerakan mereka.
Cabaran lain ialah kos pengubahsuaian kenderaan. Untuk memastikan kenderaan boleh digunakan dengan selamat dan selesa oleh OKU, banyak pengubahsuaian perlu dilakukan seperti memasang alat kawalan tangan, tempat duduk yang boleh disesuaikan dan lain-lain. Kos untuk pengubahsuaian ini boleh menjadi sangat tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh semua OKU.
Tambahan pula, kekurangan kesedaran dan kefahaman orang awam mengenai keperluan OKU sering kali menambahkan lagi kesukaran yang dihadapi. Pemandu lain mungkin tidak memberikan laluan atau tidak menunjukkan sikap yang prihatin yang menyebabkan perjalanan OKU menjadi lebih mencabar dan berisiko.
Namun begitu, dengan perkembangan terkini dalam industri kenderaan modifikasi, kita menyaksikan peningkatan dalam perkhidmatan pengangkutan yang boleh diakses oleh individu yang menggunakan kerusi roda. Satu daripada contoh yang terkehadapan ialah kenderaan modifikasi khas yang direka untuk menyokong keperluan para penumpang yang OKU.
Sehubungan dengan itu, Jom Makcik Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat PEMULA@UKM yang ditubuhkan pada tahun 2023 bagi memenuhi keperluan masyarakat dalam bidang pengangkutan khususnya kepada OKU dan warga emas.
Dr. Sazlina, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan merupakan pengasas Jom Makcik, yang diilhamkan melalui pengalaman keterlibatannya dalam Rehabilitasi Komuniti. Beliau berganding bahu dengan anaknya, Siti Sarah Anuar yang membangunkan perkhidmatan Jom Makcik untuk membantu masyarakat, khususnya OKU berkerusi roda, yang mempunyai masalah pengangkutan.
Jom Makcik turut menyediakan perkhidmatan yang dinamakan Abilicar di Lembah Klang dengan menggunakan kenderaan Honda NBox Custom G Slope, yang diimport dari negara Jepun, serta Honda Freed with Welcab seat.


Kenderaan ini mempunyai pelbagai kemudahan termasuklah pelantar khas untuk memuatkan dan mengunci kerusi roda dengan selamat serta pintu yang luas untuk memudahkan proses naik turun kerusi roda dari luar ke dalam kereta. Penumpang tidak perlu lagi pindah dari kerusi roda ke kerusi kereta (yang merupakan antara halangan dan langkah yang rumit bagi pengguna kerusi roda). Kaedah ini lebih mudah dan pantas untuk penumpang yang menggunakan kerusi roda semasa menggunakan kenderaan.
Jom Makcik kini menawarkan perkhidmatan korporat kepada organisasi yang menyokong golongan istimewa. Perkhidmatan korporat ini termasuklah pakej khas bagi memenuhi keperluan organisasi tersebut, menyediakan kemudahan pengangkutan yang selamat dan selesa untuk ahli-ahli sesebuah organisasi.
Unit Perkhidmatan OKU (UPO), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pula merupakan antara institusi yang menempah perkhidmatan korporat ini untuk membantu dan memudahkan urusan pelajar untuk menghadiri kuliah di UiTM, Shah Alam.

Selain perkhidmatan kenderaan bermodifikasi, Jom Makcik juga menyediakan perkhidmatan peneman, iaitu peneman boleh membantu mengiring pesakit ke hospital atau pusat kesihatan.
Tugas peneman antaranya termasuklah menolak kerusi roda, membantu pesakit apabila ingin ke tandas, mengambil nombor di kaunter, mengambil ubat di farmasi serta membantu pesakit semasa berjumpa doktor.
Anak-anak yang tidak dapat menemani ibu atau bapa yang uzur di hospital atau klinik disebabkan kekangan masa dan kesibukan kerja boleh memilih untuk mendapatkan perkhidmatan ini bersama-sama Abilicar, atau peneman boleh menunggu di hospital atau klinik yang berkenaan.

Peneman Jom Makcik merupakan wanita-wanita yang berdaftar dengan Jom Makcik, dan bekerja secara gig untuk menjanakan pendapatan tambahan untuk diri dan keluarga. Peneman yang berkhidmat dengan Jom Makcik telah melalui latihan yang dijalankan secara kerjasama dengan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia.
Tempahan pengangkutan dan peneman boleh dilakukan melalui pelantar Jom Makcik di laman web, https://jommakcik.my. Jom Makcik telah menerima penarafan sebagai Perusahaan Sosial Aspirasi oleh Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi atas perkhidmatan yang dijalankan kepada masyarakat berkeperluan khas.
Perkhidmatan Jom Makcik juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan terutamanya dalam meningkatkan Kesihatan dan Kesejahteraan masyarakat (Good Health and Wellbeing SDG 3) dan memartabatkan Lembah Klang sebagai Bandar dan Komuniti yang Mampan (Sustainable Cities and Communities SDG 11).
Kini, Jom Makcik mempunyai empat buah kenderaan modifikasi untuk menyediakan perkhidmatan khas dan lebih daripada 500 orang pekerja gig yang bekerja untuk menjanakan pendapatan tambahan.
Dengan adanya kenderaan modifikasi ini, Jom Makcik memberikan peluang yang lebih luas kepada individu kurang upaya untuk mengakses pelbagai kemudahan dengan lebih mudah dan lancar. Dengan sokongan masyarakat, kita dapat memastikan bahawa golongan kurang upaya tidak terpinggir dan turut menikmati kebaikan kemodenan dalam setiap aspek kehidupan.