Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), wujud prospek pertumbuhan positif, iaitu menerusi sektor perkhidmatan dan pembuatan yang memacu momentum ekonomi Malaysia.
Pada April 2024, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia kekal melonjak 6.1 peratus dari tahun ke tahun yang didorong oleh peningkatan hasil pengeluaran dalam sektor pembuatan, serta mengekalkan momentum positif selama empat bulan berturut-turut.
Sementara itu, hasil sorotan Statistik Ekonomi Malaysia Siri 6/2024 turut mencatatkan nilai jualan sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun ke tahun yang berjumlah RM153.2 bilion.
Terkini, Malaysia mencatatkan KDNK sebanyak RM1.82 trilion pada harga semasa dan sebanyak RM1.57 trilion pada harga malar pada tahun 2023.
Selain itu, pengeluaran buah tandan segar pula menunjukkan peningkatan 16.2 peratus dari tahun ke tahun kepada 8,930,945 tan metrik pada Mei 2024 berbanding dengan bulan yang sama pada tahun 2023.
Walau bagaimanapun, pengeluaran getah asli pula menurun sebanyak 9.1 peratus kepada 21,325 tan metrik pada April 2024.
Sementara itu, sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia turut mempamerkan prestasi yang memberangsangkan, iaitu berkembang sebanyak 6.6 peratus dari tahun ke tahun untuk mencapai nilai jualan bulanan sebanyak RM144.9 bilion.
Dari segi prestasi sektor luaran, import Malaysia pada Mei 2024 meningkat sebanyak 13.8 peratus kepada RM118.1 bilion, manakala eksport pula berkembang sebanyak 7.3 peratus kepada RM128.2 bilion, menyumbang lebihan dagangan sebanyak RM10.1 bilion.
Mengenai prestasi pasaran buruh pula, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 1.9 peratus yang mencatatkan 16.56 juta orang pada April 2024, manakala kadar pengangguran pula mencatatkan sebanyak 3.3 peratus.
Dari segi harga, IHP dan IHPR masing-masing meningkat sebanyak 2.0 peratus dan 1.4 peratus pada Mei 2024, berbanding dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Indeks Pelopor (LI) Malaysia dilaporkan meningkat 4.3 peratus kepada 113.1 mata pada April 2024. Melihat kepada trend jangka panjang pada April 2024, LI kekal di atas paras 100.0 mata dan hal ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang berterusan pada bulan-bulan akan datang.