Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangUmum sedia memaklumi bahawa subsidi merupakan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada individu, syarikat atau pelbagai sektor di dalam negara dengan tujuan untuk mengurangkan beban kos barangan atau perkhidmatan. Melalui pemberian subsidi, maka barangan atau perkhidmatan akan menjadi lebih mampu milik kepada rakyat, sekali gus dapat menyokong industri atau aktiviti yang penting bagi menjanakan ekonomi atau menambah baik kesejahteraan kehidupan rakyat.
Antara pemberian subsidi oleh kerajaan Malaysia kepada rakyatnya termasuklah bahan api, makanan dan barangan keperluan asas, sektor kesihatan, sektor pendidikan, sektor pengangkutan awam, sektor perumahan, sektor pertanian dan perikanan serta sektor tenaga.
Sehubungan dengan itu, pemberian subsidi bahan api bertujuan untuk mengekalkan harga runcit bahan api pada kadar yang lebih rendah daripada harga pasaran global dan mampu milik untuk rakyat. Kerajaan telah mengumumkan untuk melaksanakan pengapungan harga diesel susulan penyasaran subsidi bahan api itu sebagai satu daripada mekanisme bagi membasmi aktiviti ketirisan yang disifatkan semakin berleluasa belakangan ini.
Menurut Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan dalam sesi penerangan bersama-sama editor kanan media di Kementerian Kewangan pada 31 Mei 2024, beliau menyatakan, terdapat peningkatan jumlah diesel bersubsidi yang digunakan daripada 6.1 bilion liter pada tahun 2019 kepada 10.8 bilion liter pada tahun 2023, iaitu kenaikan lebih kurang 70 peratus.
Jika dilihat dari segi perkembangan ekonomi, sungguhpun berlaku kenaikan jumlah kenderaan diesel di dalam negara, tiada jumlah yang mengisi diesel sehingga mencatatkan kenaikan 70 peratus tersebut – hal ini menunjukkan berlakunya ketirisan subsidi.
Oleh hal yang demikian, sekiranya kita memahami ada sebab lain sehingga menyebabkan volum (kuantiti) diesel meningkat naik secara mendadak sebanyak 70 peratus, maka sudah pasti hal ini disebabkan oleh ketirisan yang besar berlaku di dalam negara.
Pada 21 Mei 2024, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa jemaah menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak, sekali gus diunjurkan akan memberikan penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.
Pada 10 Jun 2024, Perdana Menteri mengumumkan pula penarikan subsidi diesel dan pelaksanaan penyasaran subsidi bermula. Perkara ini menjadi topik hangat dalam kalangan pengguna, khususnya dalam platform media sosial. Reaksi masyarakat melalui komentar mendapat pelbagai pandangan baik pro mahupun kontra.
Menurut kenyataan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), penjimatan daripada penyasaran subsidi akan dikembalikan kepada rakyat khususnya bagi menampung keperluan pengangkutan awam dan suntikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Dalam hal ini, penyasaran subsidi diesel dilaksanakan atas sebab utamanya, iaitu mengatasi kebocoran bahan api yang melampau, khususnya yang melibatkan penggunaan kapal nelayan asing. Dengan hak yang demikian, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan atau perkhidmatan yang mendapat subsidi diesel. Walau bagaimanapun, menurut Perdana Menteri yang turut merupakan Menteri Kewangan, subsidi diesel semasa masih diberikan kepada golongan yang berhak termasuklah nelayan, pengusaha bas sekolah dan petani kecil.
Di samping itu, antara faktor yang signifikan untuk kerajaan melaksanakan penarikan subsidi bahan api di Malaysia termasuklah kerana perbezaan harga yang besar antara negara jiran lalu mendorong berlakunya aktiviti penyeludupan. Langkah penarikan subsidi dijangkakan dapat mengurangkan kes penyeludupan bahan api. Berdasarkan sumber berita BERNAMA (18 Jun 2024), Perdana Menteri melalui kenyataannya berkata, penyasaran subsidi diesel amat penting untuk negara bagi menyelamatkan dana yang bocor dan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Secara lazimnya, penyasaran subsidi mempengaruhi kenaikan kos sara hidup rakyat. Tanpa pemberian subsidi oleh kerajaan, harga kos bahan api, makanan dan barangan keperluan asas akan meningkat dan seterusnya menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat. Kenaikan harga bahan api khususnya akan meningkatkan kos pengangkutan, seterusnya boleh menyebabkan harga barang naik kerana kenaikan kos logistik yang lebih tinggi.
Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memantau harga barangan dan perkhidmatan yang dijual kepada orang ramai bagi mengelakkan catuan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab dan rakus mengaut untuk yang lebih tinggi ekoran pemansuhan subsidi diesel.
Menyedari situasi tersebut, kerajaan berusaha meningkatkan penguatkuasaan dan memberikan tumpuan kepada usaha bagi memastikan tiada kenaikan harga yang tidak seimbang yang berlaku susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini.
Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dalam Simposium Sasana 2024 Bank Negara Malaysia, usaha mengukuhkan aspek penguatkuasaan penting supaya sektor perniagaan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana hal ini sama sekali tidak berkaitan dengan skala rasionalisasi yang dilaksanakan. Rasionalisasi itu bertujuan untuk menangani penyeludupan dalaman dan merentasi sempadan bagi memastikannya lebih tertumpu ke arah membantu rakyat secara lebih menyeluruh.
Selain itu, penarikan subsidi juga dapat mengurangkan beban belanjawan kerajaan. Pemberian subsidi bahan api merupakan perbelanjaan yang besar dalam belanjawan. Oleh itu, penyasaran subsidi yang dilaksanakan dapat mengurangkan defisit fiskal dan meningkatkan kestabilan kewangan negara.
Melalui pemberian subsidi bersasar, kerajaan dapat menampung keperluan belanjawan dalam sektor pengangkutan awam dan membantu menampung kos sara hidup rakyat melalui inisiatif Bantuan Tunai BUDI Individu (RM200 sebulan) dan Bantuan Tunai BUDI Agri-komoditi (RM200 sebulan) bagi petani kecil dan pekebun kecil komoditi untuk mengurangkan kesan kepada punca pendapatan mereka.
Namun demikian, penyasaran subsidi juga memberikan kesan kepada perniagaan. Kos operasi perniagaan terutamanya dalam sektor pengangkutan dan logistik meningkatkan kos operasi yang lebih tinggi tanpa subsidi bahan api. Tidak dapat dinafikan bahawa kenaikan harga diesel sangat memberikan kesan kepada pekerja atau peniaga yang sering berulang-alik menghantar barangan pelanggan. Kenaikan ketara ini sangat membebankan dan memerlukannya perbincangan dengan pelanggan berkait dengan harga tambang baharu yang terpaksa dinaikkan berikutan kenaikan harga diesel.
Sungguhpun menaikkan harga tambang kenderaan bagi menampung kos pembelian bahan api ialah cara terbaik, hal ini boleh menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, dan seterusnya mengurangkan permintaan daripada pengguna yang pastinya memberikan kesan negatif kepada perniagaan dan ekonomi secara keseluruhannya.
Kesan lain daripada penarikan subsidi diesel ialah hal ini berupaya menggalakkan penggunaan bahan api secara lebih efisien. Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, kerajaan menetapkan harga diesel kepada sektor yang layak seperti Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 dan SKDS 1.0, serta pengekalan diesel untuk nelayan.
Kerajaan menetapkan harga diesel kepada sektor yang layak, iaitu SKDS 2.0, menggunakan kaedah fleet card bagi kenderaan logistik yang layak untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.
Sementara itu, SKDS 1.0 bagi kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba kekal pada harga RM 1.88 seliter. Akhir sekali, diesel bersubsidi untuk nelayan kekal pada harga RM1.65 seliter.
Menurut Penganalisis Penyelidikan Sekuriti Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Amiratul Husna, peralihan kepada subsidi bersasar bukan sahaja mengurangkan pembaziran, tetapi juga menggalakkan peningkatan produktiviti dan memajukan rantaian nilai yang membawa kepada penciptaan pendapatan tinggi serta pekerjaan berintensif pengetahuan. Seterusnya perkembangan ini membolehkan kerajaan memperuntukkan sumber untuk membiayai perbelanjaan awam yang penting terhadap perlindungan sosial, pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur.
Namun demikian, impak kepada penyasaran subsidi begini memberikan beban ekonomi kepada golongan yang berpendapatan rendah dan menjejaskan kualiti hidup golongan tersebut. Golongan B40 dan M40 memiliki pendapatan yang tidak meningkat selari dengan kenaikan harga barang, makanan, perkhidmatan dan perubatan.
Penarikan subsidi juga boleh menyebabkan peningkatan kadar kemiskinan kerana banyak keluarga yang terjerumus ke dalam kancah kemiskinan kerana tidak mampu menanggung kos hidup yang tinggi. Hal ini menyebabkan mereka yang terjejas mendapat tekanan kewangan seterusnya meningkatkan masalah kesihatan mental seperti stres dan kemurungan.
Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan langkah penyelesaian holistik terhadap isu yang dihadapi oleh golongan B40 dan M40 seperti penyediaan program sokongan sosial dan kesihatan mental walaupun STR dan SAR dilaksanakan. Hal ini demikian kerana kenaikan harga diesel diserap oleh syarikat atau industri dengan memindahkannya kepada pengguna juga akhirnya.
Menerusi kenyataan akhbar Malaysian Gazette (14 Jun 2024) sehari selepas kenaikan harga diesel kepada RM3.35 seliter, peniaga mula bertindak menaikkan harga barangan. Selain itu, syarikat penunda kenderaan juga menaikkan harga perkhidmatan. Pada masa yang sama, media banyak melaporkan bahawa pemilik perniagaan sudah mula menaikkan harga barangan ekoran keputusan kerajaan membatalkan subsidi pukal diesel yang menyaksikan lonjakan kadar seliter daripada RM2.15 kepada RM3.35 sejak 10 Jun 2024. Selain itu, ada peniaga menaikkan harga barangan disebabkan syarikat yang menyediakan khidmat pengangkutan lori menaikkan caj sebanyak 25 peratus.
Sebagai kesimpulannya, penyasaran subsidi merupakan suatu isu rumit dan memerlukan kebijaksanaan pemimpin untuk menanganinya. Maka itu, usaha kerajaan untuk memberikan bantuan kepada rakyat perlu sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan dasar reformasi subsidi yang dilaksanakan dapat mengurangkan ketirisan dan meningkatkan tadbir urus bagi membolehkan kerajaan memperkasakan bantuan kepada rakyat dan memberikan manfaat jangka panjang kepada negara.