Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus komited memperkasakan integriti dan mendukung aspirasi kerajaan dalam memerangi rasuah menerusi Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Anggota Lembaga, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di Menara Hasil, Cyberjaya, semalam.
Lafaz ikrar dan menandatangani IBR diketuai oleh YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan yang merangkap Pengerusi Anggota Lembaga, LHDNM bersama-sama Puan Nor Yati Ahmad, Akauntan Negara Malaysia, Jabatan Akauntan Negara Malaysia; YBhg. Datuk Noor Azian Abdul Hamid, Konsultan Swasta dan YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL.
YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hj. Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diundang sebagai saksi Majlis Melafaz dan Menandatangani IBR.
Dalam majlis tersebut, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hj. Azam Baki menyatakan bahawa HASiL ialah agensi badan berkanun pertama yang telah melaksanakan IBR pada tahun 2017 dan menandatangani IBR yang melibatkan Anggota Lembaga, LHDNM.
Beliau berharap agar hubungan kerjasama antara SPRM dengan HASiL terus diperkasakan dalam meningkatkan kutipan hasil, seterusnya memacu pembangunan ekonomi menerusi pemantapan antirasuah ini.
Sebagai agensi yang menerima pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) sejak tahun 2022, pelaksanaan IBR ini diharapkan menjadi satu langkah kawalan antirasuah kepada kepimpinan organisasi agar lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas serta mengelakkan sebarang salah laku dan penyalahgunaan kuasa.
“Hal ini dapat meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pengurusan dan pentadbiran percukaian negara”, ujar beliau lagi ketika majlis berlangsung.

Yang turut hadir di majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Wan Ramiza Wan Ghazali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar); YBrs. Encik Khairul Halimin Abdul Halim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) dan barisan pengurusan kanan HASiL.