10 Jun 2024, 10:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkembangan semasa dalam ekonomi global menunjukkan bahawa industri kreatif merupakan satu daripada sumber penting dalam pertumbuhan ekonomi dan percambahan budaya di negara maju. Industri ini juga telah menyumbang sebanyak dua peratus atau RM29 bilion  kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2019. Pencapaian, kualiti dan kemudahan untuk kegiatan kesenian juga sering dikaitkan dengan taraf hidup dan turut dijadikan antara kayu ukur antarabangsa dalam penentuan tahap kemajuan sesebuah negara.

Seni dalam pelbagai bentuk mampu menghasilkan pendapatan yang sangat besar bagi negara melalui industri pelancongan dan trend gaya hidup pada masa ini. Hal ini telah dipengaruhi oleh kemajuan teknologi maklumat, media digital, internet dan media sosial.

Perkembangan ini juga memberikan pendekatan yang terbaik kepada keusahawanan seni yang dikenali sebagai usahawan kreatif atau creativepreneur. Bagi orang-orang tertentu, istilah usahawan sering kedengaran normal jika dibandingkan dengan istilah creativepreneur.

Oleh itu, apakah maksud creativepreneur? Bidang khusus creativepreneur masih belum dibahas atau  dijelajahi secara menyeluruh. Namun begitu, bidang ini sering berkait rapat dengan perkataan designnomic, penjenamaan dan rekaan dalam industri kreatif.

Istilah creativepreneur bermaksud gabungan perkataan kreatif dan usahawan atau usahawan yang menjalankan perniagaan produk atau perkhidmatan yang berkaitan dengan kreativiti.

Terdapat banyak bidang yang berkaitan dengan istilah ini seperti bidang animasi, fesyen, grafik, reka bentuk, seni bina dan dalaman, tekstil, penulisan kreatif, tarian, filem, permainan, seni visual, muzik, kraf, fotografi, videografi dan pelbagai lagi.

Istilah ini juga sering digambarkan dengan perniagaan secara dalam talian yang dipacu menggunakan teknologi digital dan internet yang memfokuskan produk yang  berasaskan seni.

Perkembangan di Malaysia pula tidak kurang hebatnya di mana kewujudannya menyaksikan kemajuan luar jangka dan menarik perhatian pelbagai sektor untuk terlibat sama. Di Malaysia, hal ini menyaksikan pelbagai ikon usahawan yang bertaraf jutawan lahir daripada konsep ini seperti Saiful Nang (Fotografi), Haji Burhanuddin (Animasi Les Copaque), Meer Sadik (Habib Jewel),  Dato’ Siti Nurhaliza (Muzik), Dato Fara Khan (Fesyen), KRU (Filem dan Muzik), Ahadiat  Akashah (Penulis novel), Abdul Hafiz (Pelukis Grafiti), Faridah (Fesyen: Tudung), Soloz  (Streamer dan Gamer), dan banyak lagi. Perkembangan ini turut memperlihat banyak ikon usahawan muda turut serta menceburi konsep creativepreneur ini.

Dalam melahirkan pemain industri, Universiti Teknologi MARA juga banyak melahirkan ikon usahawan yang lahir daripada konsep ini. Penyediaan pelbagai program dan aktiviti yang  digerakkan melalui Akademik Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) telah mendedahkan konsep ini kepada pelajar juga merupakan satu daripada inisiatif universiti ke arah tersebut.

Pelajar didedahkan dengan nilai dan kemahiran yang merangkumi aspek kepimpinan, inovasi, kreativiti, berdaya saing, berdikari dan berkebolehan untuk mengenal pasti peluang perniagaan dalam industri kreatif.

Jabatan Percetakan Teknologi dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka mewajibkan dua elemen penting dalam produk projek tahun akhir, iaitu elemen estetik dan keusahawanan.
Projek Batik Merbuk daripada UiTM cawangan Kedah memperlihatkan konsep eksklusif tempahan pelanggan yang menggunakan lapan motif utama yang terus optimis yang dikenali di persada antarabangsa.

 

Antara faktor lain yang merancakkan aktiviti creativepreneur termasuklah pelbagai penawaran lokasi kreatif hub yang disediakan untuk penggiat kreatif membuat pameran dan persembahan seperti PORT Ipoh di Perak, @senangreka, Malaysia Animation Creative Content Centre (MAC3), Kuala Lumpur & Hub kreatif dan banyak lagi.

PORT Ipoh, di Perak.

Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) diwujudkan bagi memenuhi keperluan industri tersebut dan menyokong pembangunan dan kemajuan setiap industri di bawahnya. Melalui inisiatif kerajaan dalam merencanakan industri kreatif, pelbagai pakej rangsangan Pembangunan  Ekonomi Seni Budaya atau CENDANA, diwujudkan yang bakal memberikan manfaat kepada lebih 5,000 orang penggiat seni untuk kelangsungan dan kelestarian penggiat dan pemain industri seni di Malaysia.

Selain itu, Pakej PRISMA (Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia) adalah antara inisiatif penting jangka masa pendek Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi membantu kelangsungan dan kelestarian penggiat dan pemain industri di Malaysia berikutan pandemik COVID-19.

Pemberian pakej ini bertujuan menyokong creativepreneur dalam mengekalkan inisiatif dan memacu segala kegiatan kreatif secara lebih produktif dan ekonomik melalui sinergi tersebut.Hala tuju dan pembangunan industri kreatif harus ditingkatkan agar berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Creativepreneur juga dilihat dapat membantu dalam mengatasi kelembapan ekonomi ketika ini. Hal ini juga seiring dengan kehendak kerajaan untuk melahirkan lebih banyak usahawan tempatan yang berjaya dan berkepakaran tinggi yang tidak mengharapkan tenaga asing. Creativepreneur juga berpotensi menjadi satu model perniagaan yang berbeza yang boleh ditawarkan kepada pelanggan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.