Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPagoh – Festival Cita Rasa Aroma Merentasi Dunia yang dianjurkan oleh para pelajar jurusan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pagoh, Johor, berlangsung dengan jayanya baru-baru ini.
Bertempat di Kafe Mahallah Zaid bin Harithah, UIAM, festival ini dirasmikan oleh Dr. Arina Johari, pensyarah subjek Komunikasi Antarabudaya di Jabatan Bahasa Melayu, Kuliah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, UIAM, yang juga merupakan pengelola bagi festival ini.
Festival Cita Rasa Aroma Merentasi Dunia mengetengahkan konsep jualan yang menarik dan unik, iaitu memperkenalkan dan meraikan kepelbagaian budaya melalui makanan.
Pada festival tersebut, para pelajar menjual pelbagai makanan tradisional dan popular mengikut negara yang dipilih, iaitu Mexico, Itali, Jepun, Korea, China, Thailand, Singapura, Indonesia dan Malaysia.
Antara makanan yang dijual termasuklah bakso, yong tau foo, nachos, roti bakar, kerabu maggi, udonkki, puding karamel, sate, riceball dan pelbagai lagi juadah yang enak dan lazat.
Melalui festival ini, para pelajar bukan sahaja dapat merasai pengalaman berjual beli malahan dapat meningkatkan lagi pengetahuan mereka mengenai budaya dan asal usul makanan di pelbagai negara.
Para pelajar yang terlibat juga tidak hanya menjual makanan, malahan mereka diminta untuk mempersembahkan hidangan yang dijual kepada para juri yang terdiri dalam kalangan pensyarah yang semestinya pakar dan adil dalam membuat penilaian.
Festival ini juga mempamerkan bentuk silang budaya yang terdapat dalam setiap makanan yang dipamerkan yang menerangkan tentang situasi silang budaya yang berlaku apabila budaya asing diterapkan dalam sesuatu budaya asing.
Selain turut memperlihatkan kemahiran para pelajar dalam menyediakan hidangan istimewa yang menarik perhatian pengunjung, festival ini juga bertambah meriah dengan aktiviti permainan santai di setiap reruai yang diiringi oleh muzik tradisional dan moden dalam pelbagai bahasa.