30 Mei 2024, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, MITI telah memperoleh komitmen daripada Google untuk melabur AS$2 bilion (RM9.4 bilion) bagi menempatkan pusat data Google pertama dan rantau Google Cloud di Malaysia. Tapak ini akan ditempatkan di Taman Perniagaan Elmina milik Sime Darby Property Bhd, di Greater Kuala Lumpur.

Dalam kenyataannya, Menteri MITI, YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pusat data itu akan menggerakkan perkhidmatan digital popular Google, seperti Carian, Peta dan Ruang Kerja, sambil turut memainkan peranan yang penting untuk membolehkan Google menyampaikan manfaat kecerdasan buatan Artificial Intelligence (Al) kepada pengguna di seluruh negara.

“Apabila beroperasi, Malaysia akan menyertai 11 buah negara di mana Google telah membina dan kini mengendalikan pusat data untuk memberikan perkhidmatan kepada pengguna di seluruh dunia. Rantau Google Cloud, sebaliknya akan menyampaikan infrastruktur awan, analitik dan perkhidmatan AI berprestasi tinggi dan kependaman minimum kepada perusahaan besar, syarikat baharu dan organisasi sektor awam, sambil mengekalkan pematuhan keselamatan dan peraturan tertinggi yang standard,” kata YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

MITI berkata dalam kenyataan itu, inisiatif oleh Google akan menyokong 26,500 pekerjaan yang merentasi pelbagai sektor di Malaysia  termasuk dalam penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan – dengan jumlah impak ekonomi yang bernilai RM15.04 bilion.

Rantau awan Malaysia akan menyertai 40 buah wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global, serta program literasi Al untuk pelajar dan pendidik Malaysia.

Pengumuman itu dibuat selepas beberapa siri pelibatan MITI yang difasilitasi melibatkan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Alphabet dan Presiden Google, ketua pegawai pelaburan dan ketua pegawai kewangan, Ruth Porat.

Alphabet ialah sebuah syarikat induk Google. Memorandum persefahaman sebelum ini ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Google pada November 2023.

Secara keseluruhannya, YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaburan terkini sebanyak RM9.4 bilion akan memberikan signifikan ketara matlamat digital yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu Negara 2030.

“Pusat data Google dan rantau Google Cloud di Greater Kuala Lumpur akan memperkasakan industri pembuatan yang berasaskan perkhidmatan untuk memanfaatkan AI dan teknologi canggih yang lain untuk meningkatkan rantaian nilai global,” tambah beliau.

Ketika berita ini ditulis, saham dalam Sime Darby Property telah meningkat empat sen atau 3.33% kepada RM1.24, memberi syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM8.43 bilion.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.