Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMummyRQ Sdn. Bhd. merupakan antara syarikat usahawan bimbingan (UB) MARDI Kedah yang progresif sejak ditubuhkan pada September 2015 oleh Puan Jazneeda Jamil. Syarikat ini menawarkan makanan bayi halal yang organik.
Pada Jun 2017, MummyRQ membuka premis perindustrian di Kedah Halal Park, Sungai Petani, Kedah. Produk makanan bayi yang dihasilkan sangat sesuai dan praktikal untuk ibu bapa moden kerana memudahkan penyediaan makanan bayi. Produk MummyRQ, iaitu Groomy telah memperoleh sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sijil MeSTI oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2018.
Misi syarikat MummyRQ adalah untuk mengembangkan inovasi makanan bayi halal organik ke pasaran domestik dan global. Ketika pandemik COVID-19, MummyRQ telah mengubah model bisnesnya dengan menawarkan produk dan servis pengilang peralatan asal (OEM) kepada pengusaha perusahaan makanan termasuklah industri hotel, restoran dan kafe (HORECA). Impaknya, MummyRQ mula mendapat perhatian dan kepercayaan daripada pemain industri makanan sebagai rakan OEM yang dipercayai.
Pada pertengahan tahun 2022, MummyRQ mengambil langkah lebih berani dengan memperbesar kilang dengan berkeluasan kira-kira 4800 kaki persegi dan mengubah spesifikasi bagi memenuhi pensijilan dan standard seterusnya. MummyRQ kemudian mengorak langkah dengan program audit untuk pensijilan GMP oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana produknya mendapat permintaan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa termasuklah Indonesia dan Jepun.
Pihak syarikat menggunakan teknologi mesin pengering dan mesin penyahhidrat bagi meningkatkan mutu dan penghasilan produk. Selain itu, kini turut mampu menjalankan proses retort hasil pembelian mesin “retort water-immersion” yang boleh dikawal selia secara automatik melalui peranti telefon dan komputer riba. MummyRQ melakukan penambahbaikan teknologi pembungkusan dengan pembungkusan kotak bagi menggantikan pembungkusan botol plastik. Hasilnya, jualan meningkat sehingga 200 peratus pada tahun 2021. Peningkatan ini turut disumbangkan oleh eksport jenama makanan bayi, iaitu Groomy ke pasaran Brunei dan Myanmar.
Pada tahun 2023, MummyRQ telah menambah 19 buah mesin dan kelengkapan memproses yang dianggarkan mampu menjana output sebanyak lapan tan sebulan berbanding dengan 1.5 tan sebelum ini. Hal ini bagi meningkatkan kapasiti pengeluarannya yang mensasarkan penembusan jenama Groomy ke pasaran antarabangsa. Terkini, MummyRQ mengusahakan lebih 40 SKU produk jenamanya sendiri dan lebih 140 SKU untuk produk OEM.
Jenama Groomy telah melancarkan Ultimate Baby Food (UBF) pada tahun 2023 dengan tiga variasi pilihan untuk bayi enam bulan dan ke atas. Produk ini melangkui kategori produk jenama Groomy lain, iaitu segera dan sedia untuk dimasak. Kini, Groomy juga telah berjaya memasuki 14 rangkaian hospital KPJ melalui kedai Healthshoppe. Kejayaan usahawan UB ini yang telah mengedar produknya ke seluruh negara termasuk pasaran antarabangsa diharap dapat dijadikan sumber inspirasi buat usahawan-usahawan lain di luar sana. Teknologi dan inovasi dari MARDI telah membantu ramai usahawan berjaya untuk memasarkan produk di pasaran dengan kualiti terbaik.