18 April 2024, 15:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang merancang pelan pengembangan peluang perniagaannya untuk memasukkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke pasaran yang sedang berkembang pesat.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, pengerusi MATRADE menyatakan bahawa  pihaknya sedang merancang pelan pengembangan di luar negara yang bermula dari Dubai bagi meneroka peluang memperkenalkan MIHAS ke pasaran seperti China, Eropah dan Asia Tengah.

“Langkah ini sejajar dengan visi organisasi untuk membina perkongsian antarabangsa dan mempromosikan produk Malaysia kepada lebih ramai orang” ucapnya dalam ucapan alu-aluan beliau semasa majlis prapelancaran MIHAS pada hari Khamis.

MATRADE juga akan menganjurkan MIHAS@Dubai pada 18 hingga 20 November 2024 dengan matlamat meraih jualan berjumlah RM1 bilion.

“Dengan memperluas ke hadapan ini, kami berusaha mencipta peluang baru bagi perdagangan dan kerjasama, yang dijangkakan akan mendorong MIHAS ke tahap yang belum pernah dicapai sebelum ini” jelasnya.

Tambah beliau, MIHAS@Dubai merupakan bukti komitmen agensi tersebut terhadap penjenamaan Malaysia dan berharap pameran itu akan menjadi saluran untuk meningkatkan reputasi negara sebagai peneraju dalam industri halal global.

Sementara itu, Reezal Merican menyatakan bahawa MIHAS edisi ke-20 (MIHAS 2024) akan menampilkan 2000 ruang pameran dari 45 negara, termasuk Malaysia, dengan matlamat menarik lebih daripada 40,000 pengunjung perdagangan.

Pameran tersebut yang bertemakan “Globalising Halal Innovations” akan mempamerkan produk, perkhidmatan dan teknologi halal yang paling inovatif melalui 14 kluster terpilih, termasuklah bahan halal sebagai kluster terkini.

Selain pameran tersebut, dijangkakan 500 pembeli antarabangsa akan mengambil bahagian dalam Program Penyumberan Antarabangsa, termasuk 20 pembeli premium dalam sesi mesyuarat yang akan diadakan secara maya atau fizikal bersama pengeksport Malaysia.

Menurutnya lagi, elemen inovasi dan kemampanan akan diberi tumpuan dalam produk dan perkhidmatan yang dipromosikan semasa MIHAS 2024.

“Kategori produk ini termasuk farmaseutikal, kewangan Islam, teknologi kewangan, gaya hidup, fesyen modest, bahan makanan, dan perkhidmatan yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa industri halal antara keutamaan bagi MITI dan MIHAS merupakan satu daripada platform yang paling berkesan untuk menyambung perniagaan halal di seluruh dunia.

“Tahun lepas merupakan pencapaian terbaik bagi MITI dan MATRADE dengan peserta pameran mencapai jualan bernilai RM3.20 bilion yang menjadikan MIHAS sebagai peneraju dalam perdagangan halal global,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis tersebut yang disampaikan secara maya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.