5 April 2024, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang berlangsung semalam bersetuju dengan keputusan kerajaan Persekutuan untuk menambah baik pemberian serta sokongan terhadap kerajaan negeri sebanyak RM8.9 bilion tahun ini berbanding dengan RM8.3 bilion pada tahun 2023 dan RM8.1 bilion pada tahun 2022.

Menurut Kementerian Kewangan, penambahbaikan pemberian itu antaranya membabitkan peningkatan penyelenggaraan jalan negeri kepada RM5.4 bilion berbanding RM5.2 bilion tahun lalu dan pemberian berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP), iaitu sebanyak RM400 juta.

  Pemberian Pindahan Fiskal Ekologi (EFT) turut dinaikkan kepada RM200 juta berbanding dengan RM150 juta pada tahun 2023, manakala penambahan Pemberian Khas Tahunan untuk Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta berbanding RM16 juta untuk Sarawak dan RM129.7 juta untuk Sabah pada tahun lalu,” jelas Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, pemberian kepada perpustakaan dan muzium negeri turut ditingkatkan sebanyak 10 peratus untuk tahun ini.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024 yang dihadiri oleh Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri semalam.

Selain itu, katanya, bagi perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM39.4 bilion disediakan bagi tahun 2024 untuk melaksanakan projek pembangunan negeri berbanding sebanyak RM36.7 bilion pada tahun 2023 dan RM28.8 bilion tahun 2022.

Kementerian Kewangan berkata kelulusan permohonan kerajaan negeri sudah diberi berhubung kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan atau bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh yang boleh menyebabkan kerosakan jalan serta jambatan.

Majlis Kewangan Negara telah meluluskan pembelian Jambatan Sementara Bailey menggunakan peruntukan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri secara sekali beri dan kenaikan had untuk membiayai perbelanjaan pengurusan berkaitan dengan penyelenggaraan jalan negeri sebanyak 10 peratus atau RM10 juta, mengikut yang lebih rendah,” jelasnya.

Sementara itu, YAB Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan yang sama berkata kerajaan Persekutuan komited untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum.

Katanya lagi, berlandaskan prinsip manusiawi dan rahmatan lil alamin yang membentuk kerangka Ekonomi MADANI, penambahbaikan pemberian kepada kerajaan negeri dapat memberikan manfaat langsung kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau geografi.

“Peningkatan pemberian melibatkan semua negeri di Malaysia dan akan diberikan secara serentak dan besarlah harapan saya agar pemberian ini dapat digunakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk menjamin kemaslahatan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan,” tambah beliau.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024 yang dihadiri oleh Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri semalam.

Sumber gambar: Pejabat Perdana Menteri

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.