2 April 2024, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Seramai 8.4 juta rakyat bakal menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang akan dikreditkan mulai 3 April ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim berkata kerajaan telah menambah peruntukan program subsidi bersasar STR Fasa 2 sebanyak 20 peratus kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion pada tahun lepas.

Tambah beliau, bantuan ini adalah untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana rendah menangani peningkatan kos sara hidup.

“Kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini.

Beliau berkata reformasi ekonomi yang diterajui Kerajaan MADANI bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara tetapi ia berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.

Sementara itu, menurut Kementerian kewangan, penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat-peringkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

Tambah beliau, mulai tahun ini, kerajaan juga telah mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.

Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

Kementerian Kewangan berkata sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Kementerian Kewangan ingin menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.