27 Mac 2024, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa sektor pelancongan domestik di Malaysia merekodkan 54.3 juta pelawat pada suku keempat 2023 dan melonjak 16.1 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik meningkat 1.6 peratus daripada suku ketiga 2023. “Perbelanjaan pelancongan domestik mencatatkan RM23.8 bilion, menandakan peningkatan 29.5 peratus tahun ke tahun dan peningkatan 18.5 peratus suku tahun ke suku tahun.”

“Secara keseluruhannya, prestasi pelancongan domestik Malaysia bagi tahun 2023 merekodkan 210.9 juta pelawat, meningkat 22.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. “Bagi perbelanjaan pelancongan domestik pada 2023, ia mencatatkan RM84.9 bilion, meningkat 32.5 peratus berbanding tahun lepas,” katanya.

Walau bagaimanapun kedua-dua statistik berkenaan masih di bawah paras prapandemik (2019) dengan pelawat domestik merekodkan -11.8 peratus dan perbelanjaan pelancongan domestik berkurang -17.7 peratus.

Beliau menambah indeks hasil taman tema meningkat 49.2 peratus tahun ke tahun, diikuti ketibaan di lapangan terbang domestik (+1.7 peratus), trafik lebuh raya (+10.9 peratus), dan jualan runcit bahan api (+3.4 peratus).

Sementara itu, indeks hasil penginapan turut meningkat dengan merekodkan 12.5 peratus manakala kadar penghunian hotel lima bintang meningkat 2.1 peratus, diikuti hotel empat bintang (+0.7 peratus), dan hotel tiga bintang (+14.8 peratus).

Kadar penghunian mengikut lokasi di bukit dan bandar masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 2.6 peratus berbanding dengan suku tahun yang sama tahun lepas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.