25 Mac 2024, 23:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa inflasi Malaysia pada Februari 2024 meningkat 1.8 peratus. Peningkatan inflasi pada Februari 2024 didorong oleh peningkatan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.7 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.6 peratus) dan pengangkutan (1.2 peratus).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, “peningkatan 2.7 peratus bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain disumbangkan oleh subkumpulan utama bekalan air dan pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman pada 29.7 peratus.”

“Hal ini berikutan pelaksanaan pelarasan tarif air mengikut mekanisme penetapan tarif (TSM) bagi kategori pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan yang berkuat kuasa 1 Februari 2024. Manakala, peningkatan inflasi pengangkutan disumbangkan oleh subkumpulan utama pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat 1.3 peratus dan perkhidmatan pengangkutan awam 1.7 peratus.”

Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP mencatatkan peningkatan lebih rendah iaitu 1.9 peratus pada Februari 2024.

Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.5 peratus pada bulan lalu, sementara subkumpulan utama Makanan di luar rumah meningkat kepada 3.5 peratus berbanding 3.1 peratus yang direkodkan pada Januari 2024.

Beliau memaklumkan bahawa lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (2.7 peratus), Pahang (2.4 peratus), Selangor (2.1 peratus), Perlis (2.0 peratus) dan Sarawak (1.9 peratus).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.