16 Mac 2024, 10:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) tegas menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit yang sedang tersebar menerusi media sosial berdasarkan kadar pertukaran USD/MYR yang salah diterbitkan oleh Google pada 15 Mac 2024.

Menurut BNM, maklumat ini tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar. “Pada 15 Mac 2024, kadar pertukaran USD/MYR berada pada 4.7015 pada pukul 9 pagi dan 4.7045 pada pukul 5 petang dengan kadar intrahari tinggi pada 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM,” jelas BNM dalam satu kenyataan semalam.

Tambah BNM, sepanjang dua minggu yang lalu iaitu antara 1 Mac hingga 15 Mac 2024, nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 0.76 peratus berbanding dengan dolar AS. BNM memaklumkan insiden ini merupakan kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran USD/MYR yang tidak tepat pada tahun 2024.

BNM telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Februari 2024. “Susulan insiden salah lapor yang kedua ini, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan tentang punca pelaporan yang tidak tepat ini berlaku dan langkah pembetulan yang dibuat memandangkan isu yang berulang ini telah menjejaskan Malaysia dan banyak negara lain sejak beberapa bulan yang lalu,” katanya.

BNM menasihatkan orang ramai supaya merujuk data rasmi termasuk data daripada BNM serta perlu mengelak daripada menggunakan, menyebarkan atau membuat spekulasi berhubung dengan sumber yang tidak disahkan sebagai rujukan bagi ringgit.

Menurut BNM, kadar pertukaran ialah data yang peka pasaran dan sebarang laporan yang tidak tepat dan penyebaran data yang tidak disahkan boleh mengakibatkan implikasi yang serius terhadap pasaran kewangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.