9 Februari 2024, 22:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa indeks harga pengeluar perkhidmatan Malaysia (IHPRP)  mencatatkan 115.5 mata pada suku keempat bagi tahun 2023 yang merupakan peningkatan sebanyak 1.0 peratus berbanding dengan 1.4 peratus pada suku ketiga tahun yang sama.

DOSM turut melaporkan bahawa kebanyakan subsektor merekodkan peningkatan harga pada suku tahun ini. Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi meningkat sebanyak 5.5 peratus (suku ketiga tahun 2023: 0.8 peratus), manakala penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman merekodkan kenaikan sebanyak 3.4 peratus (suku ketiga 2023: 4.6 peratus). Peningkatan tersebut adalah disebabkan oleh kenaikan dalam aktiviti perkhidmatan minuman dan restoran (4.0 peratus) serta aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (3.8 peratus).

Pada masa yang sama, beliau menambah subsektor lain yang mencatatkan kenaikan termasuklah subsektor pendidikan (1.0 peratus), aktiviti hartanah (0.6 peratus), kesihatan (0.3 peratus) dan profesional (0.2 peratus). Indeks bagi pengangkutan bagaimanapun mencatatkan penurunan sebanyak -0.5 peratus disebabkan oleh pengangkutan udara penumpang (-2.7 peratus). Sementara itu, indeks maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah.

Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun pula menunjukkan IHPRP meningkat perlahan, iaitu 0.1 peratus berbanding dengan 0.4 peratus yang direkodkan pada suku tahun sebelumnya. IHPRP meningkat sebanyak 2.1 peratus pada tahun 2023, sama seperti tahun sebelumnya. Selain maklumat dan komunikasi yang kekal tidak berubah, subsektor lain mencatatkan peningkatan pada tahun 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.