9 Februari 2024, 20:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Menjelang cuti persekolahan sesi 2023/2024, pastinya pelbagai perancangan percutian telah direncanakan. Namun dalam keseronokan merancang percutian, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin mengingatkan kepada pembayar cukai agar menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan terlebih dahulu agar percutian ke luar negara tidak tergendala.

Untuk makluman, tindakan sekatan perjalanan di bawah Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP 1967) dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (AKCHT 1976) adalah antara tindakan yang diambil oleh HASiL ke atas mana-mana individu yang tidak menjelaskan tunggakan cukai mereka setelah tindakan sepertiĀ  yang berikut diambil:

  1. Pengeluaran surat tuntutan bayaran tunggakan cukai.
  2. Panggilan telefon.
  3. Pengeluaran e-mel pemakluman tunggakan.
  4. Pengeluaran surat pemberitahuan tindakan sivil di mahkamah.
  5. Tindakan guaman sivil.

Sehingga 31 Disember 2023, bilangan kes sekatan perjalanan melibatkan pengarah syarikat adalah sebanyak 12,846 kes, manakala individu pula adalah sebanyak 179,719 kes. Bagi menyemak status semasa percukaian, pembayar cukai boleh melayari portal MyTax yang dapat dicapai melalui pautan https://mytax.hasil.gov.my/ dan juga semakan status sekatan perjalanan di laman web Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.

Sekiranya pembayar cukai mempunyai rekod tunggakan cukai serta dikenakan tindakan sekatan perjalanan, mereka dimohon untuk membuat bayaran atau menghubungi pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai mereka untuk tujuan rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara. Melalui pendekatan Kesedaran, Pendidikan, dan Perkhidmatan (AES) dalam pelaksanaan operasi percukaian, HASiL sentiasa terbuka dan komited untuk menjadi pemudah cara kepada pembayar cukai. Oleh itu, pembayar cukai dinasihatkan untuk tampil ke pejabat HASiL bagi berbincang dan berunding dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik sekiranya berhadapan dengan sesuatu kesalahan atau kesulitan.

Pembayaran tunggakan cukai pendapatan boleh dibuat melalui:

  • Portal MyTax melalui Perkhidmatan ezHasil > ByrHASiL atau pautan terus https://byrhasil.hasil.gov.my/; atau
  • Portal perbankan internet bank komersial yang dilantik sebagai ejen kutipan HASiL; atau
  • Mesin deposit tunai/ mesin juruwang automatik (ATM) bank ejen kutipan HASiL.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.