23 Januari 2024, 12:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Durian Tunggal – Kerajaan Negeri Melaka optimis untuk mencapai sasaran lebih RM10 bilion nilai pelaburan yang akan dibawa masuk ke negeri Hang Tuah itu bagi tahun 2024.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebagai negeri mesra pelabur, beliau yakin dapat mencapai sasaran tersebut. Menurutnya, setakat suku ketiga tahun lalu, kerajaan negeri menerima keseluruhan pelaburan yang diluluskan bernilai RM4.77 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menandatangani plak perasmian Kilang Audermars Microtec (Malaysia) Sdn. Bhd.

“Setiap tahun Melaka akan meletakkan sasaran RM5 bilion untuk pelaburan, namun setakat 22 hari pada tahun ini kita telah menerima pelaburan bernilai RM50 juta dari syarikat berpangkalan di Switzerland. Jadi saya optimis pada tahun ini, kita akan berjaya mencapai lebih RM10 bilion nilai pelaburan ke Melaka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kilang Audemars Microtec (Malaysia) Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Angkasa Nuri di sini, semalam.

Turut hadir Exco Sains, Teknologi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Ngwe Hee Sem dan Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, YB Zahari Abd Kalil; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), S.Sivasuriyamoorthy dan Ketua Pegawai Eksekutif Audemars Microtec (Malaysia) Sdn. Bhd., Dr. Mirko Audemars.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, terdapat sebanyak 60 kilang semikonduktor di Melaka termasuk syarikat dari Swiss, Audemars Microtec, sekali gus memaparkan imej negeri itu sebagai destinasi popular bagi pelaburan elektrik dan elektronik di rantau ini.

“Sektor perindustrian dan pembuatan adalah nadi pembangunan dan menjadi tulang belakang ekonomi Melaka, termasuk menyumbang sebanyak 37.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar bagi tahun 2022. Sehingga kini, sektor industri di negeri ini mempunyai sebanyak 185,000 pekerja,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan syarikat terbabit untuk beroperasi dan membuka peluang pekerjaan sehingga berkembang maju telah mengukuhkan imej positif Melaka sebagai satu daripada lokasi pilihan paling popular untuk hab pelaburan elektrik dan elektronik.

Mengenai pelaburan Audemars di Melaka, Ketua Menteri Melaka itu berkata bahawa syarikat berteknologi tinggi dari Switzerland itu mengkhususkan pembangunan cip, pembuatan gegelung mikro dan magnet mikro untuk peranti perubatan, termasuk alat pendengaran dan jantung, selain implan serta intervensi.

Tambah beliau lagi, proses penghasilan cip itu memerlukan teknologi amat tinggi apabila Melaka mendapat keyakinan Audemars Microtec melalui penyediaan tenaga kerja mahir dalam bidang semikonduktor ini.

“Seiring dengan dasar “mesra pelabur” yang diterapkan oleh pentadbiran kerajaan Melaka serta kecekapan sumber manusia yang tersedia ada telah mendorong Audemars Microtec untuk melabur sebanyak RM50 juta pada peringkat awal selain akan menambah kira-kira 200 kakitangan sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.