10 Januari 2024, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menara Merdeka 118 yang merupakan lambang baharu bagi Malaysia akhirnya dirasmikan pada malam ini setelah hampir lapan tahun pembinaan. Rakyat perlu mengakui bahawa Menara Merdeka 118 sebagai pencapaian negara yang hebat dalam menghadapi cabaran global.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan menara ikonik terbaharu bagi Kuala Lumpur  di sini hari ini. Turut berangkat ke majlis tersebut,  KDYMM Raja Permaisuri Agong ,Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Baginda bertitah bahawa mercu tanda baharu tersebut merupakan lambang  kepelbagaian rakyat dalam realiti Malaysia yang merdeka.

Dari perspektif mana-mana pun yang kita lihat menara ini, menara ini mencerminkan bagaimana negara kita melalui perjalanan sejarahnya sehingga akhirnya mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang dengan struktur sosial dan nilai perpaduan yang mengikut acuan kita sendiri. Oleh itu, rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga kerana Menara Merdeka 118  ini adalah bukti kejayaan berterusan Malaysia,” titah baginda dalam Majlis Perasmian Menara Merdeka 118.

Dalam majlis yang sama, KDYMM YDPA turut merasmikan dan memasyhurkan Masjid Al-Sultan Abdullah yang merupakan masjid utama di Kompleks Menara Merdeka 118 dengan menzahirkan ucapan terima kasih atas penghormatan untuk menamakan masjid tersebut bersempena dengan nama baginda. Baginda turut menzahirkan keyakinannya bahawa PNB sebagai institusi pelaburan utama negara akan terus maju dalam usaha  memperkukuhkan ekonomi negara.

Baginda mengakhiri titahnya dengan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk berdoa agar ekonomi negara terus berkembang maju dan keamanan serta kesejahteraan negara Malaysia berkekalan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.