Oleh Abd Razak Osman
17 Disember 2023, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sik – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menjalankan kerjasama strategik menerusi “
Perjanjian Kerjasama Dalam Pelaksanaan Program Transformasi Usahawan”
bersama-sama dengan Public Islamic Bank Berhad (PIBB) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) Kedah di Dewan Sik Inn, Sik.
Penyerahan bantuan kewangan menerusi Program iTEKAD.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut melibatkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dr. Mohd. Faisal Mustaffa dan Pengurus Besar, Public Islamic Bank Berhad, Encik Lukman Zuhdi Mahmud Zahudi.
Kerjasama tersebut diadakan bagi membantu usahawan asnaf menambahkan pengetahuan perniagaan mereka melalui modul berkisar tentangĀ  pengurusan dan pemantapan kewangan serta pemasaran digital. Program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif iTEKAD yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Program iTEKAD dibangunkan dengan mengetengahkan kewangan sosial sebagai komponen penting dalam ekosistem kewangan di Malaysia bagi memangkin pembangunan sosioekonomi yang lebih seimbang. Program ini juga dirangka khusus untuk menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, terutamanya dalam kalangan usahawan berpendapatan rendah dan asnaf melalui tiga komponen utama, iaitu modal awal (seed capital), program latihan dan pembiayaan mikro.
Dr. Mohd Faisal Mustaffa berkata, melalui perjanjian bersama melibatkan PIBB dan UUM ini bakal memberikan manfaat kepada 30 orang usahawan asnaf di sekitar daerah Sik, Kedah. Jelasnya lagi,
Program ini juga bertujuan untuk membangunkan ekosistem perniagaan di Sik yang berpotensi sebagai destinasi tumpuan eko-pelancongan di negeri Kedah.
Pada majlis yang sama, PIBB telah menyerahkan tiga buah jentera pembajak kepada LZNK untuk menjayakan program Smart Sawah Berskala Besar yang dianjurkan oleh LZNK. Sumbangan ini menggunakan dana agihan wakalah zakat perniagaan PIBB dan bakal memberikan manfaat kepada pembangunan agro di negeri Kedah.
Pengurus Besar PIBB, Encik Lukman Zuhdi Mahmud Zahudi pula berkata, program Transformasi Usahawan dan sumbangan jentera pembajak memperuntukkan lebih RM150 ribu melalui dana agihan wakalah zakat perniagaan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Kutipan LZNK, Mohamad Zaidi Azizan, Pengarah Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia, Dr. Ahmad Khilmy Abdul Rahim dan Imam Masjid As-Salam Chepir Sik, Encik Yusri Hamid.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.