14 Disember 2023, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah melakar satu lagi sejarah dengan berlangsungnya Majlis Perasmian Menara HASiL Kluang pada hari ini. Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis yang penuh gilang-gemilang ini.

DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, berkenan mencemar duli merakamkan gambar kenangan bersama-sama Menteri Besar Johor (ketiga dari kiri) YB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, KPE HASiL (ketiga dari kanan), YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Nizom Sairi, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor (kedua dari kiri), Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim Ramli, TKPE (Operasi Percukaian) (kedua dari kanan), YBhg. Dato’ Wan Ramiza Wan Ghazali, Setiausaha Kerajaan Johor (pertama dari kiri), YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, dan Pengarah HASiL Negeri Johor (pertama dari kanan), Puan Shifaak Md. Amin.

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE), YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Nizom Sairi dalam ucapannya berkata Menara HASiL Kluang yang dirasmikan ini adalah untuk meraikan bangunan baharu yang siap dibina dalam usaha HASiL memperkasakan pentadbiran percukaian yang lebih cekap dan profesional. HASiL yakin elemen Kesedaran, Pendidikan dan Perkhidmatan (A.E.S) akan dapat diterapkan dengan lebih efisien kepada pembayar cukai termasuklah penduduk di negeri Johor.

Yang menariknya, bangunan lapan tingkat yang serba canggih ini telah mendapat pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang pertama di daerah  Kluang  dan  diiktiraf  berdasarkan  konsep  kelestarian  serta  penggunaan sumber yang cekap. Majlis perasmian ini turut diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan negeri Johor serta pengurusan tertinggi HASiL dengan hampir 700 orang tetamu jemputan.

Sejarah awal penubuhan HASiL Cawangan Kluang, mula beroperasi pada 1 Januari 1972 dan adalah pejabat Jabatan Hasil Dalam Negeri (JHDN) yang kedua di negeri Johor. Kawasan pentadbirannya meliputi Daerah Kluang dan Batu Pahat serta kedudukan strategik di tengah-tengah negeri Johor merupakan faktor utama Bandar Kluang ini dipilih sebagai lokasi pentadbiran percukaian. Sebelum pembinaan Menara HASiL Kluang ini, Cawangan Kluang telah berpindah ke beberapa lokasi dan kemuncaknya HASiL memutuskan untuk membina bangunannya sendiri. Menara HASiL Kluang ini mula dibina pada 27 Oktober 2016 dan siap sepenuhnya pada 8 April 2019 yang lalu sebelum diserahkan kepada HASiL.

Semoga kemajuan dan pembangunan ekonomi di negeri Johor dapat membantu HASiL terus cemerlang seiring dengan hasrat Kerajaan MADANI dalam memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.