10 November 2023, 05:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur – Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MoA) Penerbitan Glosari Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Enviromental, Social, and Governance [ESG]) telah berlangsung dengan jayanya antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) di Dewan KIKU, Menara Berkembar PETRONAS, petang tadi.

MoA tersebut dimeterai oleh DBP dengan PETRONAS sebagai usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam sektor tenaga, minyak dan gas melalui kerjasama peristilahan yang berkaitan dengan bidang ESG.

Dalam majlis tersebut, MoA berkenaan telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari bersama-sama dengan Pengurus Besar Jabatan Pengurusan Komunikasi PETRONAS, Encik Mohd Fazli Ibrahim dan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan, dan Pengerusi PETRONAS, YBhg. Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Encik Mohd Fazli Ibrahim (depan, kiri) bersama-sama dengan YBrs. Dr. Hazami Jahari (depan, kanan) menandatangani MoA Penerbitan Glosari Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan disaksikan oleh YBhg. Tan Sri Mohd Bakke Salleh (belakang, kiri) dan YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan (belakang, kanan).

YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan dalam ucapannya berkata bahawa DBP sangat menyokong dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan DBP untuk memartabatkan dan memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu dan industri, terutamanya melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi yang mempunyai formula dalam membentuk pelbagai istilah ilmu pengetahuan.

DBP amat berbesar hati kerana buat julung-julung kalinya dapat bekerjasama dengan PETRONAS, iaitu sebuah syarikat minyak dan gas multinasional di Malaysia. Perjanjian kerjasama yang termeterai pada hari ini menjadi detik bersejarah dan titik permulaan untuk menjalinkan hubungan strategik serta persefahaman yang lebih erat antara DBP dengan PETRONAS melalui pelaksanaan pelbagai program.

YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ketika menyampaikan ucapan.

Beliau juga menyatakan harapan agar projek penerbitan glosari ini dapat diterbitkan seperti yang dirancang, memandangkan terdapat banyak istilah baharu bidang ESG dalam bahasa Inggeris yang muncul dari semasa ke semasa dan memerlukan padanan bahasa Melayu yang tepat, seterusnya dapat dimanfaatkan oleh pengguna.

 

YBhg. Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkongsi aspirasi PETRONAS dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Sementara itu, Pengerusi PETRONAS, YBhg. Tan Sri Mohd Bakke Salleh dalam ucapannya turut menyentuh tentang aspirasi PETRONAS yang merupakan pelopor industri tenaga negara dan serantau, untuk bersama-sama dengan DBP bagi memperkasa dan mengangkat martabat penguasaan bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi.

Selaras dengan kemajuan bidang pembangunan lestari dan mampan dalam sektor tenaga minyak dan gas, menjadi tanggungjawab semua pihak yang terlibat dalam memastikan pemerkasaan bahasa Melayu dalam sektor tersebut kekal diberi perhatian untuk kepentingan bersama.

Pemerolehan dan penggunaan tenaga telah mengalami perubahan yang mengutamakan pembangunan lestari dan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui. Hal ini menjadikan daftar kata yang berkaitan dengan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menjadi amat mustahak.

Sebagai sebuah syarikat multinasional, walaupun PETRONAS beroperasi di lebih 30 buah negara di seluruh dunia dengan kepelbagaian bahasa dan budaya, namun perbezaan tersebut tidak menjadi penghalang buat organisasi ini bagi memastikan kelancaran operasi dan usaha memartabatkan bahasa Melayu kekal subur.

Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MoA) ini menyaksikan persetujuan dan persefahaman antara kedua-dua pihak untuk memanfaatkan kepakaran di PETRONAS, kepakaran dari universiti awam dan industri, berkongsi maklumat serta saling bertukar pandangan agar penyediaan kandungan dalam usaha penerbitan glosari ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Barisan tetamu kehormat dari DBP dan PETRONAS.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, merangkap Penasihat Projek Glosari ESG, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat; Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, YBhg. Datin Anita Azrina Abdul Aziz; Ketua-ketua Bahagian DBP, pakar-pakar bidang serta pegawai-pegawai dari DBP dan PETRONAS.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.