3 November 2023, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan dan peningkatan produktiviti telah mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama strategik dengan Centre for Future Studies Berhad (THE FUTURE) melalui sebuah Memorandum Persefahaman (MoU).

MoU ini bagi menzahirkan kerjasama strategik  antara MPC dengan THE FUTURE dari aspek  penyelidikan, latihan dan penerbitan dalam bidang yang berkaitan dengan peningkatan daya saing ekonomi, pembangunan bakat masa hadapan, teknologi, perancangan ekonomi spatial dan sektor tumpuan khusus. 

MPC merupakan sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang bertanggungjawab untuk memacu peningkatan produktiviti dan daya saing secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan perusahaan berpandukan tiga teras, iaitu pembangunan bakat masa depan, pendigitalan dan inovasi serta membina ekosistem yang teguh.

Melalui kerjasama strategik ini, MPC berpeluang untuk mendapat manfaat dengan memperoleh pandangan dan kepakaran yang berharga dan seterusnya dapat memberikan sumbangan terhadap transformasi dan pertumbuhan ekonomi negara.

 THE FUTURE  merupakan sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah undang-undang Malaysia dengan misi untuk menggabungkan pendekatan saintifik dan empirikal ke dalam pembangunan dasar semasa yang meliputi ekonomi masyarakat, pemacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi serta ekonomi modal. Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) beroperasi sebagai bahagian nukleus dalam THE FUTURE yang memberikan fokus terhadap penyelidikan dan analisis pasaran buruh.

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (KSP RMK-12) memperlihatkan peranan penting produktiviti dalam memperkukuh dan mentransformasi ekonomi Malaysia. KSP RMK-12 mengariskan usaha yang akan dipergiat bagi meningkatkan produktiviti buruh yang dianggarkan berkembang pada kadar 3.8% setahun.

Anjakan produktiviti ini memerlukan pendekatan anjakan holistik ekonomi yang merentas sektor dan agensi. Situasi ini memerlukan penetapan kerangka asas produktiviti yang ditentukan bersandarkan pada penilaian berasaskan bukti. Bagi tujuan tersebut, diharapkan kerjasama strategik antara MPC dengan THE FUTURE dapat mendukung usaha mencapai hasrat yang digariskan dalam KSP RMK-12.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.