29 Oktober 2023, 21:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebarang pelaburan baharu melibatkan industri dolomit yang bakal masuk ke negeri Perlis diharap menguasai dan memenuhi keseluruhan rantaian ekonomi negeri itu serta tidak hanya memfokuskan perlombongan bahan mentah semata-mata.

Lot industri juga dibuka di Chuping Valley untuk diterokai bagi pembangunan kilang pembuatan produk hiliran dolomit kerana Perlis mempunyai sumber mineral dolomit yang tinggi.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Majlis Malam Perlis 2023 anjuran Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) yang berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika bertitah pada Majlis Malam Perlis 2023 di Kuala Lumpur.

Majlis dwitahunan ini diadakan bagi meraikan anak kelahiran negeri Perlis yang berhijrah dan menetap di sekitar Lembah Klang serta beberapa negeri berdekatan yang lain.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Yang DiPertua PPKL, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman serta barisan kepimpinan persatuan tersebut.

Hadir sama, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Dalam titah baginda, Raja Muda berharap agar nama baik Perlis akan sentiasa dijaga dengan sebaik-baiknya oleh setiap warga PPKL dan terus membawa nama negeri ini ke persada yang lebih tinggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.