12 September 2023, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat sebanyak 2.5 peratus tahun ke tahun kepada RM1.03 trilion bagi tempoh tujuh bulan pertama 2023. DOSM juga menyatakan bahawa bilangan pekerja bertambah sebanyak 1.7 peratus kepada 2.34 juta orang, manakala gaji dan upah tumbuh sebanyak 3.8 peratus kepada RM56.6 bilion bagi tempoh yang sama.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa nilai jualan dicatatkan oleh setiap pekerja pula merekodkan pertumbuhan marginal sebanyak 0.8 peratus berjumlah RM441 255. Selain itu, bagi asas bulanan, beliau menambah nilai jualan sektor pembuatan itu susut sebanyak tiga peratus kepada RM144 bilion pada Julai 2023. Penurunan tersebut dipengaruhi terutamanya oleh subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik yang mencatatkan penyusutan berterusan kepada negatif 15.3 peratus pada bulan tersebut (Jun 2023: -12.4 peratus) selain penguncupan subsektor makanan, minuman dan tembakau (-7.8 peratus) dan kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (-0.6 peratus).

Bagi perbandingan dengan bulan sebelumnya, nilai jualan menurun sebanyak 2.4 peratus berbanding RM147.4 bilion yang direkodkan pada Jun 2023 (0.4 peratus). Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang merangkumi 72.1 peratus daripada jumlah jualan, terus merosot sebanyak 7.0 peratus pada Julai 2023 (Jun 2023: -7.4 peratus) disebabkan oleh industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-25.6 peratus); pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan (-18.5 peratus) dan pembuatan produk getah (-10.8 peratus).

Namun begitu, prestasi industri berorientasikan domestik kekal menggalakkan, mencapai 9.2 peratus pada Julai 2023 berbanding 6.8 peratus pada Jun 2023 yang seterusnya mengurangkan impak kemerosotan dalam industri berorientasikan eksport. Momentum stabil bagi industri berorientasikan domestik itu disokong terutamanya oleh pertumbuhan kukuh dalam nilai jualan bagi industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan dan separa treler yang mencatat 22.0 peratus.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.