23 Ogos 2023, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Menerusi penganjuran hari eksport Selangor 2023, Kolaborasi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2023 diyakini mampu melahirkan usahawan yang berkualiti seterusnya meningkatkan jumlah pengeksport tempatan khususnya di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, menyatakan bahawa kolaborasi ini cukup penting untuk melahirkan lebih ramai pengeksport di dalam negara terutamanya di Selangor.

Apabila usahawan kita berjaya di persada dunia, hal ini dapat membantu sumber kewangan negara, seterusnya apabila mereka berjaya mereka akan membayar cukai dan hasil tersebut akan kembali kepada rakyat,” katanya pada sidang media bersempena dengan Hari Eksport Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa program  dua hari yang bermula pada hari ini juga dilihat sebagai platform terbaik bagi membangunkan lebih ramai usahawan pengeksport yang boleh menjadi pelengkap kitaran ekonomi negara.

Selain itu, Mohd Mustafa turut menyatakan bahawa kedudukan Selangor yang strategik mampu menarik pelbagai jenis pelabur ke negeri tersebut.

Tambah beliau lagi, dengan adanya lokasi yang strategik, di situlah peranan MATRADE untuk membantu para usahawan agar menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan bagi menyalurkan produk mereka kepada pelabur.

Menerusi penganjuran program ini juga dijangka dapat meningkatkan eksport dengan penyediaan produk yang diperlukan pelabur dan pada masa yang sama usahawan juga dapat belajar kaedah mengeksport produk mereka selepas ini. Ujarnya, program tersebut akan diteruskan di negeri Terengganu, Pahang dan Johor pada bulan September dan Oktober depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, beliau amat menghargai kerjasama dengan MATRADE dan pasti akan menggalakkan dan memberikan bimbingan usahawan di negeri ini untuk mengeksport produk mereka.

Menerusi program ini juga peserta didedahkan dengan solusi eksport seperti program eTrade, Platform Perdagangan Digital MATRADE, MyExport serta Pembelajaran Digital MATRADE bagi membantu syarikat meneroka pasaran antarabangsa dan mengenal pasti platform bagi perniagaan e-dagang.

Program ini juga dapat memberikan pelbagai peluang kepada usahawan bagi memperluas perniagaan dan melengkapkan diri mereka dengan ilmu keusahawanan yang komprehensif melalui program serta modul.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.