21 Ogos 2023, 21:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri Perlis telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM9.325 juta bagi membantu 75 usahawan bermula Januari hingga Ogos tahun ini. Peruntukan yang diberikan meliputi pelbagai bidang termasuklah makanan, minuman, automotif dan kecantikan.

Pengarah MARA negeri Perlis, Mohd Azam Jamaluddin menyatakan bahawa peruntukan tersebut disalurkan sebagai kemudahan pembiayaan bagi memulakan perniagaan, penyediaan latihan serta pengembangan perniagaan termasuk pendigitalan perniagaan yang sedang diusahakan.

Demikian dipersembah maklumkan oleh beliau kepada Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas baginda berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan Semarak Gemilang MARA 66 yang bermula dan berakhir di perkarangan Dewan Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh, Kangar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Rural Capital Berhad, Haji Hiruddin Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA, Mohd Amran Mohd Ariffin.

Program Kayuhan di sekitar bandar Kangar sejauh 20 kilometer yang melibatkan 66 orang peserta yang mengambil simbolik 66 tahun kemerdekaan itu telah dianjurkan oleh MARA negeri Perlis.

Dalam program berkenaan Tuanku Pemangku Raja Perlis berkenan untuk menyaksikan majlis penyerahan cek contoh pembiayaan perniagaan MARA oleh Datuk Zulfikri kepada Noor Faezah Tumari dari Pioneer Premier Sdn. Bhd. yang mewakili 67 penerima pembiayaan perniagaan MARA bernilai RM9.325 Juta.

Cek contoh Pembangunan Pendidikan Pelajar, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) pula diserahkan kepada Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh sebanyak RM3000.

Baginda menzahirkan rasa sukacita atas segala bentuk bantuan yang disalurkan oleh pihak MARA. Semoga bantuan tersebut dimanfaatkan dengan tujuan menambah baik dan mengembangkan lagi perniagaan sedia ada agar dapat menambah serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini.

Selain menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada tiga orang asnaf terpilih serta 30 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Darul Ibadah Padang Behor. DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan pengurniaan Fiber-Laser Marking Machine kepada FKMC Maju Enterprise dan merasmikan Premis Perniagaan Pioneer Premier Sdn. Bhd. (ByReefa) daripada pihak MARA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.