Oleh Firdaus Mul
18 Ogos 2023, 14:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur –  Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang jelas dan seiring dengan pelaksanaan Dasar Gaji Minimum berupaya melonjakkan kualiti hidup rakyat dan memudahkan lagi negara mencapai status negara maju dan negara berpendapatan tinggi. Hal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Prof. Dr. Durrishah Idrus yang juga merupakan Ketua Eksekutif Kolej IJN dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran RTM baru-baru ini.

Prof. Dr. Durrishah Idrus.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa mencari kaedah yang terbaik untuk menyelesaikan ataupun membantu rakyat dengan membentuk satu kualiti kehidupan rakyat yang mapan untuk menghadapi cabaran semasa. Keterjaminan hidup rakyat berjaya dibentuk dan keperluan asas sentiasa berusaha dipenuhi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tentang kepentingan memahami Dasar Gaji Minimum khususnya para majikan yang berada di Malaysia. Menurut beliau Dasar Gaji Minimum perlu difahami oleh semua pihak terutama para majikan adalah gaji minimum. Gaji minumum tidak termasuk elaun dan faedah lain yang sepatutnya mengiringinya. Oleh hal yang demkian, beliau berpendapat bahawa Dasar Gaji Progresif sepatutnya lebih baik daripada dasar sebelum ini, iaitu berupaya membuka ruang kepada satu dasar yang berupaya meningkatkan pendapatan sesuai dengan kemahiran, pengalaman atau kelulusan.

Selain itu, beliau turut mengupas peri pentingnya takrifan “pekerja”. Menurut beliau, hal ini disebabkan oleh wujudnya kelainan tentang takrifan pekerja dalam Akta Kerja, Akta Hubungan Industri, Akta Kesatuan Sekerja, Akta-akta berkaitan buruh yang lain dan Ordinan Buruh di Sabah dan Sarawak.

Tegas beliau, “Satu takrifan yang lebih jelas diperlukan bagi definisi ‘pekerja’ itu sendiri. Sepatutnya ada satu definisi, MASCO mempunyai pengkelasan ini. Tetapi sejauh manakah pengkelasan yang disediakan oleh Kementerian Sumber Manusia diguna pakai, difahami dan dituruti atau dipatuhi oleh majikan?”

Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang efektif berupaya meningkatkan produktiviti kerja yang lebih berkualiti. Beliau berharap agar dasar tersebut adalah jawapan yang dicari oleh rakyat Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.