17 Ogos 2023, 17:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta untuk dimanfaatkan oleh 800 usahawan berpotensi dalam kalangan golongan asnaf bagi meneruskan komitmennya dengan memperkasakan usahawan melalui program RAKYATpreneur dan UNIpreneur 2023.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mengatakan bahawa melalui pelibatan institusi kewangan seperti Bank Rakyat ini dapat membantu meningkatkan keupayaan usahawan dan golongan B40 dalam membentuk kedudukan kewangan yang lebih kukuh bagi menghadapi cabaran atau rintangan kewangan di luar jangkaan pada masa hadapan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

“Kedua-dua program yang dianjurkan itu merupakan inisiatif kewangan sosial di bawah rangkaian program iTEKAD Bank Negara Malaysia yang mampu memberikan impak yang luas kepada usahawan asnaf,” jelasnya  dalam majlis perasmian program tersebut di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, inisiatif ini juga bertepatan dengan agenda utama program asasi global, iaitu matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam usaha membasmi kemiskinan menjelang tahun 2030.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Irwan Mohd Mubarak berkata, beliau yakin dengan adanya program sebegini, hal tersebut mampu menyediakan kehidupan yang lebih sejahtera kepada usahawan asnaf sekali gus membawa kepada pembentukan negara yang berprestij pada masa akan datang.

Beliau turut menjelaskan bahawa peserta program RAKYATpreneur tahun sebelumnya telah berjaya merekodkan hampir 60 peratus peningkatan kadar jualan manakala usahawan siswa asnaf Bank Rakyat UNIpreneur pula mencatatkan peningkatan kadar jualan sebanyak 66 peratus sepanjang program tersebut berlangsung.

Program bank rakyat UNIpreneur merupakan gabungan usahawan antara Bank Rakyat dengan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dengan melibatkan penyertaan sebanyak 500 orang usahawan siswa asnaf dari 20 buah universiti terpilih.

Manakala, sebanyak 300 orang peserta  dari seluruh negara telah menyertai program RAKYATpreneur 2023  dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai rakan pelaksana.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut termasuklah Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr.Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman.

Sumber gambar: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.