11 Ogos 2023, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seoul, Korea Selatan – Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail singgah di Seoul dalam penerbangan pulang ke tanahair dari Los Angeles.

Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis bersama-sama Duta Besar Kesatuan Eropah (E.U.) ke Korea Selatan, Puan Yang Terutama Maria Castillo Fernandez (kanan sekali) dan Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan,  Tuan Yang Terutama Datuk Lim Juay Jin (kiri).

Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa menerima mengadap Duta Besar Kesatuan Eropah (E.U.) ke Korea Selatan, iaitu Puan Yang Terutama Maria Castillo Fernandez semasa berada di sana. Puan Yang Terutama Maria yang berasal dari Sepanyol pernah berkhidmat di Kuala Lumpur selama empat tahun dari September 2016 hingga September 2020 dan pernah mengetuai delegasi Duta-duta Besar dari negara Kesatuan Eropah (EU) ke Perlis untuk sesi lawatan kerja mengadap Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYTM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid pada tahun 2019.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah diiringi sama oleh Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, iaitu Tuan Yang Terutama Datuk Lim Juay Jin dalam sesi tersebut. Datuk Lim menyembah maklum kepada Tuanku Pemangku Raja dan Tuanku Raja Puan Muda bahawa pada tahun 2022, Korea Selatan merupakan rakan dagangan ke-8 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-8 terbesar dan sumber import ke-7 terbesar.

“Perdagangan dua hala di antara Malaysia dengan Korea Selatan berjumlah USD25.91 bilion pada tahun 2022 telah meningkat sebanyak 21.6% dan menyumbang 4.0% daripada keseluruhan jumlah perdagangan Malaysia.”

Jumlah eksport Malaysia ke Korea Selatan juga berkembang sebanyak 35.2% dengan mencapai nilai USD12.47 bilion. Jumlah tersebut telah menyumbang 3.5% daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia, hasil daripada peningkatan permintaan untuk produk dan perkhidmatan Malaysia dalam pasaran Korea Selatan.  Selain itu,  jumlah import Malaysia dari Korea Selatan pula bernilai USD13.44 bilion, iaitu telah meningkat sebanyak 11.3% daripada tahun sebelumnya yang merangkumi 4.6% daripada jumlah import global Malaysia.

Menurut Datuk Lim lagi, “Bagi Korea Selatan, Malaysia merupakan rakan dagangan ke-12 terbesar pada tahun 2022 dengan jumlah perdagangan berjumlah USD26.72 bilion, iaitu merangkumi 1.89% syer daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara tersebut. Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia merupakan rakan dagangan ke-3 terbesar bagi Korea Selatan, selepas Vietnam dan Singapura pada tahun 2022.”

Produk utama yang dieksport oleh Malaysia ke Korea Selatan pada tahun 2022 ialah produk elektrik dan elektronik terutamanya litar bersepadu elektronik (USD3.95 bilion) yang menyumbang sebanyak 31.7% daripada jumlah eksport Malaysia ke Korea Selatan. Produk eksport kedua terbesar ialah gas asli cecair (LNG ) bernilai USD2.82 bilion yang menyumbang sebanyak 22.6% daripada jumlah eksport Malaysia ke Korea Selatan. Hal ini diikuti oleh produk petroleum (USD0.94 bilion, 7.6%), pengeluar logam (USD0.77 bilion, 6.2%) dan produk besi dan keluli (USD 0.6 bilion., 4.8%).

Lima produk utama yang diimport oleh Malaysia dari Korea Selatan pada tahun 2022 ialah produk petroleum, bernilai USD3.83 bilion yang merangkumi 28.1% daripada jumlah import Malaysia dari Korea Selatan, produk elektrik dan elektronik (USD 3.64 bilion, 26.3%), produk kimia (USD 1.48 bilion, 11.0%), mesin dan peralatan (USD 1.16 billion,8.6%) dan produk besi dan logam (USD 0.84 bilion, 6.2%).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.