8 Ogos 2023, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Duyong – Menjelang hujung tahun 2023, hampir 4000 peniaga dan penjaja disasarkan menyertai inisiatif Cashless Melaka bagi menggalakkan transaksi bayaran tanpa tunai.

Hal ini dinyatakan oleh Timbalan Exco Sains, Teknologi dan Komunikasi Digital Negeri, YB Mohd Noor Helmy Abdul Halim. Beliau menyatakan bahawa semua inisiatif Cashless Melaka ini diyakini dan terbukti selamat selain hal tersebut dapat memudahkan lagi aktiviti jual beli antara pengguna dan peniaga. Beliau berkata demikian dalam Program Cashless Melaka Walkabout @ Pasar Malam Taman Seri Duyong pada hari ini.

Timbalan Exco Sains, Teknologi dan Komunikasi Digital Negeri, YB Mohd Noor Helmy Abdul Halim dalam Program Cashless Melaka Walkabout @ Pasar Malam Taman Seri Duyong.

Menurut beliau lagi, inisiatif ini dimulakan sejak bulan Mac yang lalu dan lebih 1200 peniaga dan penjaja menyertai inisiatif ini. Beliau turut menerima maklum balas daripada peniaga, iaitu terdapat peningkatan 2.5 peratus hasil jualan selepas terlibat dalam inisiatif tersebut.

“Walau bagaimanapun, sehingga kini pihak kami mendapati bahawa kesedaran tentang bayaran tanpa tunai ini masih rendah dalam kalangan masyarakat, terutamanya para peniaga yang sudah sekian lama menggunakan transaksi tunai,” jelasnya.

Beliau berkata bahawa kempen promosi dan inisiatif Cashless Melaka giat dijalankan dalam memacu agenda Masyarakat Tanpa Tunai di negeri itu. Jelas beliau lagi, tujuan utama inisiatif ini adalah untuk mempertingkat penggunaan tanpa tunai dalam kalangan masyarakat terutamanya dalam sektor perniagaan dan peruncitan selaras dengan aspirasi Melaka sebagai “Negeri Pintar” (Smart City) seperti yang digariskan di bawah Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2034 dan Smart Melaka Blueprint 2035.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhunjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Zulkarnain Mohd Yasin dan Pengarah MCMC Melaka, Muhammad Luqman Ali.

Sumber gambar: Facebook rasmi YB Mohd Noor Helmy Abdul Halim

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.