8 Ogos 2023, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia menyusut 2.2 peratus pada Jun 2023 disebabkan oleh penguncupan dalam sektor pembuatan dan perlombongan. Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir menyatakan bahawa hal tersebut merupakan penguncupan kedua dalam industri berorientasikan eksport pada tahun ini, berikutan penurunan awal pada April 2023.

Menurut beliau lagi, kelemahan dalam industri berorientasikan eksport pada Jun 2023 adalah disebabkan oleh penurunan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis, iaitu sebanyak 10.8 peratus, manakala pembuatan komputer, produk optik dan elektronik pula sebanyak 4.0 peratus.

“Kemerosotan pengeluaran pembuatan pada Jun 2023 telah dipengaruhi oleh penurunan sebanyak 3.9 peratus dalam industri berorientasikan eksport.”

Walau bagaimanapun kata beliau lagi, output elektrik meningkat secara sederhana, iaitu sebanyak 2.8 peratus berikutan pertumbuhan 5.9 peratus pada bulan sebelumnya. Indeks elektrik adalah lemah berbanding dengan bulan sebelum ini, iaitu sebanyak 5.3 peratus berbeza dengan pertumbuhan positif 9.3 peratus yang dicatatkan pada Mei 2023. Sementara itu, pengeluaran dalam sektor perlombongan mencatatkan kadar pertumbuhan terendah sejak Mei 2023 serta menyusut sebanyak 6.4 peratus pada Jun 2023.

Penurunan yang berlaku adalah disebabkan oleh kemerosotan dalam sektor gas asli serta minyak mentah dan kondensat, iaitu dengan masing-masing -7.8 peratus dan -4.5 peratus. Beliau juga turut menjelaskan bahawa bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks perlombongan menguncup 7.7 peratus berbanding 7.6 peratus positif yang disaksikan semasa Mei 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.