Diterbitkan pada 1 Ogos 2023, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur- Menteri Komunikasi dan Digital, YB  Fahmi Fadzil berkata Malaysia boleh keluar daripada perangkap pendapatan sederhana sekiranya negara mampu menyelesaikan isu komunikasi, jurang digital serta menarik pelaburan baharu dalam sektor tertentu.

“Jika kita mempunyai hala tuju yang jelas, kita lebih strategik untuk mengumpul dana dan pelaburan, maka pertumbuhan ekonomi akan berlaku namun asasnya ialah kestabilan politik.” Demikian menurut beliau ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), semalam.

Jelasnya lagi, kemampuan Malaysia dalam menarik pelaburan baharu juga akan dapat menyelesaikan masalah kos harga barang yang semakin meningkat. Malaysia merupakan sebuah negara yang memandang jauh ke hadapan, maka teras pertama untuk keluar dari perangkap pendapatan sederhana ialah ekonomi digital dan yang kedua ialah tenaga boleh baharu.

“Kedua- dua teras ini akan membuka peluang pelaburan yang sangat besar termasuk konsep penghiliran dengan memberi fokus terhadap beberapa sektor, iaitu bahan kimia oleokimia serta bahan kimia khusus.”

Tambah beliau lagi, Malaysia bukan lagi hanya menjadi sebuah negara pengeksport minyak sawit, minyak mentah dan semikonduktor tetapi lebih khusus daripada itu apabila Malaysia menjadi antara negara yang terulung dalam menghasilkan beberapa perkara ini.

Menteri KKD itu juga menjelaskan bahawa usaha kerajaan untuk merealisasikan hala tuju Ekonomi Madani ini juga menuntut ketelitian kerana penyelesaian masalah asas ekonomi negara memerlukan sedikit perubahan dalam hala tuju pascapandemik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi