Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Isu, cabaran dan hala tuju dasar serta strategi pelaksanaan program keterjaminan makanan negara antara topik yang dibincangkan dalam Forum Kementerian yang bertajuk Keterjaminan Makanan Menuju Malaysia MADANI. Forum ini dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Ahli panel yang mengambil bahagian dalam forum tersebut termasuklah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Badrul Hisham Mohd, Felo Penyelidik, Universiti Putra Malaysia, Profesor Datin Paduka Fatimah Mohamed Arshad, Pengerusi Kulim (Malaysia) Berhad, Tan Sri Dr. Ismail Hj. Bakar, dan Pemilik Evergreen Livestock Sdn. Bhd., Datuk Yap Yun Fook.
Menurut Datuk Badrul Hisham, jaminan kecukupan makanan ini boleh dicapai melalui ikatan kontrak, tindakan dasar dan juga polisi yang dibuat pada peringkat jabatan dan agensi diperlukan untuk memastikan rakyat tidak terkesan sekiranya bekalan makanan berkurang. Beliau juga turut menggalakkan golongan muda serta pelajar di kolej pertanian supaya berkecimpung dalam bidang pertanian supaya dapat mehirkan petani bijak dalam menggunakan platform pintar yang ada.
Tan Sri Dr Ismail pula memberi pandangan bahawa golongan muda kini merupakan pelapis petani pada masa hadapan dan isu yang dibangkitkan oleh petani muda tidak seharusnya diendahkan oleh agensi kerajaan ataupun pihak kementerian. Seterusnya, beliau juga berpendapat bahawa pihak kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta harus bekerjasama bagi menyelesaikan isu keterjaminan makanan kerana isu ini dilihat sebagai suatu ancaman.
Bagi Felo Penyelidik, Universiti Putra Malaysia, Profesor Datin Paduka Dr. Fatimah menyuarakan pendapat bahawa antara naratif makanan utama dalam sekuriti makanan termasuklah landskap masa depan bukan lagi bekalan makanan “just in time” tetapi “just in case”, selagi petani tidak mencapai sara diri, negara tidak akan mencapai sara diri makanan. Selain itu, polisi tidak selari zaman dan mengambil iktibar pengajaran silam melalui data besar dan dokumentasi juga menjadi naratif utama dalam sekuriti makanan.
Sementara itu, Datuk Yap Yun Fook berharap agar kerjasama penting antara pihak kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta boleh dicapai demi keterjaminan makanan dan boleh mencapai sasaran yang diinginkan. Beliau juga berpendapat bahawa polisi yang sedia ada harus dikaji semula kerana terdapat polisi yang tidak seiring dengan zaman, namun ada juga polisi yang masih relevan untuk digunakan dalam bidang ini. Harapan beliau agar dengan adanya forum ini semua pihak dapat memberikan maklum balas tentang cadangan yang diberikan oleh beliau mahupun para peserta yang hadir.