Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Anak syarikat Duopharma Biotech Berhad, Duopharma (M) Sdn. Bhd. menandatangani kerjasama dengan syarikat bioteknologi farmaseutikal yang berpangkalan di Kanada, Kensana Health Inc. Kerjasama itu menyaksikan hasrat kedua-dua syarikat untuk meneroka penyelidikan dan pembangunan klinikal serta pengkomersialan produk yang memberikan fokus terhadap terapi melegakan kesakitan.
Penyelidikan klinikal itu akan mengkaji penggunaan produk berasaskan kanabis untuk penggunaan sakit kronik. Pengarah urusan kumpulan, Leonard Ariff Abdul Shatar menyatakan bahawa kerjasama tersebut membolehkan pihaknya mengejar peluang dalam mengembangkan aplikasi farmaseutikal berasaskan tumbuhan termasuk kanabis. Usaha berterusan syarikat untuk meluaskan akses terhadap ubat-ubatan dan terapi seperti terapi yang boleh melegakan kesakitan yang boleh meningkatkan kualiti hidup pesakit sejajar dengan komitmen amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Ketua pegawai eksekutif Kensana Health, Ken Clement menyatakan bahawa pihaknya berbesar hati bagi memulakan kerjasama jangka panjang dengan Duopharma. Tambah beliau, teknologi teras Kensana Health berupaya untuk menyeragamkan pertumbuhan sebatian semula jadi daripada tumbuhan ubatan yang diketahui. Pihaknya kini dalam peringkat pembangunan untuk membina sebuah kemudahan fitofarmaseutikal yang diperakui halal di Malaysia yang bertaraf dunia.