Diterbitkan pada 13 Julai 2023, 08:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa nilai jualan sektor pembuatan kembali positif dengan mencatat pertumbuhan 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM146.8 bilion dalam Mei 2023.

Pencapaian itu disokong oleh pertumbuhan kukuh antaranya peralatan pengangkutan dan pengeluar lain, produk mineral bukan logam dan produk elektrik dan elektronik. Kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain mencatat pertumbuhan kukuh 17.3 peratus manakala produk mineral bukan logam logam asas dan produk logam yang direka (8.7 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (8.2 peratus). Hal itu menjadikan prestasi keseluruhan sektor pembuatan bagi Januari hingga Mei 2023 berjumlah RM741.2 bilion yang merekodkan peningkatan sebanyak 5.1 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Nilai jualan sektor pembuatan meningkat 3.3 peratus pada Mei 2023 setelah turun 2.0 peratus pada bulan sebelumnya. “Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan itu pulih kepada 1.3 peratus berbanding negatif 7.2 peratus yang direkodkan pada April 2023. Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang merangkumi 71.6 peratus daripada jumlah jualan, turut pulih sedikit sebanyak 0.2 peratus pada Mei 2023 selepas susut pada April lepas.

Kenaikan ini disumbangkan terutamanya oleh industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (7.9 peratus); pembuatan kayu, produk kayu dan gabus (7.5 peratus) dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (2.4 peratus). Namun begitu, industri berorientasikan domestik mengekalkan momentum positif untuk merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.3 peratus pada Mei 2023 (April 2023: 1.6 peratus).

Selain itu, prestasi kukuh industri berorientasikan domestik disokong terutamanya oleh industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan separa treler (20.1 peratus); pembuatan pemprosesan produk makanan (12.9 peratus) dan pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan (10.6 peratus). Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, bilangan pekerja meningkat sebanyak 2.6 peratus kepada 2.36 juta orang manakala gaji dan upah meningkat 4.1 peratus kepada RM40.6 bilion. DOSM juga melaporkan bahawa nilai jualan bagi setiap pekerja mencatat pertumbuhan sebanyak 2.5 peratus kepada RM314 636 dalam tempoh tersebut.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi