Diterbitkan pada 12 Julai 2023, 08:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM138.0 bilion yang merekodkan peningkatan sebanyak 6.6 peratus tahun ke tahun pada Mei 2023.

DOSM menjelaskan peningkatan itu disebabkan oleh subsektor kenderaan bermotor, yang melonjak sebanyak 22.0 peratus atau RM3.1 bilion kepada RM17.0 bilion. Perdagangan runcit juga berkembang sebanyak 5.0 peratus atau RM2.8 bilion kepada RM58.8 bilion, diikuti perdagangan borong dengan peningkatan 4.4 peratus atau RM2.6 bilion kepada RM62.2 bilion.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat semula 1.5 peratus, disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing pada 16.2 peratus dan 2.1 peratus. DOSM menyatakan bahawa bagi prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan dua angka sebanyak 22.0 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor bulan ini didorong oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 29.8 peratus atau RM2.1 bilion kepada RM8.9 bilion. Kemudian diikuti oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor yang masing-masing meningkat 17.7 peratus dan 20.4 peratus.

Bagaimanapun, jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal menurun sebanyak 5.0 peratus. Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini melonjak semula 16.2 peratus disumbangkan oleh semua kumpulan, terutamanya jualan kenderaan bermotor sebanyak 30.8 peratus. DOSM turut menambah indeks volum perdagangan borong dan runcit bagi Mei mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.7 peratus didorong oleh pengembangan dalam semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (17.8 peratus), perdagangan borong (5.3 peratus) dan perdagangan runcit (2.4 peratus). Indeks volum pelarasan musim pula merosot -4.1 peratus bulan ke bulan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi