Diterbitkan pada 3 Julai 2023, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Subang Jaya – Satu inisiatif sedang diusahakan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk memperkemaskan aspek peranan serta fungsi kesemua 31 agensi penggalakan pelaburan IPA di Malaysia.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata fokus MITI adalah untuk memberi kemudahan kepada pelabur asing dan tempatan menikmati perjalanan pelaburan yang lancar menerusi peranan serta tanggungjawab yang jelas dalam kalangan pihak yang terbabit dalam aspek memberi kelulusan yang berkaitan. Tambah beliau, pihak majlis pelaburan negara juga telah mengakui ancaman luar ke atas daya saing Malaysia dan telah memberikan kepercayaan kepada MITI untuk meningkatkan aspek kemudahan pelabur menjalankan perniagaan dengan memperkemas serta melaras semula landskap IPA.

Walaupun inisiatif ini baharu dimulakan namun kementerian tersebut telah mempelawa pelabur sedia ada dan baharu untuk berkongsi pengalaman serta cadangan untuk mengatasi kekangan yang wujud untuk menambahbaik prosedur tersebut. Pada majlis pengumuman usahasama Proton dan syarikat alat ganti kenderaan terbesar Thailand, AAPICO Hitech Public Company Limited (AAPICO), beliau menjelaskan bahawa MITI sentiasa terbuka untuk menerima sebarang maklum balas yang bersifat membina.

Proses bagi perjalanan pelabur akan dipertingkatkan, diperkemas dan ditambah baik dan membolehkan MITI dan agensinya berada kedudukan yang lebih baik pada masa hadapan serta bersedia untuk menempatkan Malaysia sebagai satu destinasi mesra pelaburan, perdagangan dan industri. “MITI akan memastikan industri yang diterajui oleh dasar automatif nasional (NAP )  terus berkembang pesat pada masa hadapan berdasarkan sasaran dan matlamat yang lebih jelas dari segi hala tuju,” jelas Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tambah beliau lagi, kejayaan NAP terbukti dengan kemajuan yang  signifikan sektor automatif dalam pembangunan kapasiti pelbagai sub bidang kejuruteraan automatif seperti kejuruteraan mekanikal, elektronik, perisian dan keselamatan serta elektrikal sekaligus telah menjadikan Malaysia sebagai pangkalan menarik dalam kalangan automatif global. Selain itu, kehadiran pengeluar-pengeluar juga turut memberi kesan limpahan positif terhadap rantaian bekalan domestik yang diwakili oleh 641 pembuat komponen di negara ini. “Terdapat lebih daripada 30 pengeluar dan pemasang kenderaan pada masa ini  yang memanfaatkan kemudahan perniagaan di Malaysia dan ekosistem yang memberangsangkan untuk memenuhi peningkatan permintaan domestik dan serantau bagi jenama masing-masing,”katanya. “Saya sedar akan kepentingan tersebut dan akan memberi jaminan bahawa MITI akan terus menumpukan usaha untuk memajukan sektor berkenaan,” jelas Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Peranan NAP ialah sebagai pelan tindakan untuk menempatkan Malaysia sebagai hab automatif serantau untuk kenderaan jenis cekap tenaga iaitu EEV dan kenderaan elektrik iaitu EV dengan penekanan yang kukuh berkaitan dengan pembangunan kenderaan generasi akan datang (NxGV), mobiliti sebagai satu perkhidmatan (MAAS) dan integrasi teknologi industri 4.0. NAP menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan sektor automatif kepada RM 104.2 bilion  kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang tahun 2030 walaupun sektor berkenaan telah menyumbang sebanyak RM 64.5 bilion pada tahun 2022.

Sehubungan dengan itu, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz juga berharap agar Proton terus berperanan sebagai pemain utama dalam membantu negara mencapai sasaran NAP, terutamanya dalam pengeluaran EV dan EEV yang dilengkapi dengan teknologi pintar. Beliau juga berharap  Proton dan rakan strategiknya akan bekerjasama erat dengan MITI untuk merealisasikan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang bertujuan untuk mentransformasikan industri pengeluaran dan memacu Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif. MITI juga turut menyasarkan  RM 12.3 bilion nilai eksport kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) menjelang tahun 2030.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi