Diterbitkan pada 2 Julai 2023, 09:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing bagi membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan mengikut mandatnya.

Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani menyatakan bahawa walaupun nilai ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran, bank pusat menjangkakan langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk terus mengukuhkan ekonomi dapat membantu memastikan ringgit mencerminkan asas negara dengan lebih baik.

“Meskipun ringgit terus dipengaruhi oleh perkembangan global, unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berada pada julat empat hingga lima peratus serta pembaharuan struktur dan usaha penggabungan fiskal oleh kerajaan adalah faktor penyokong bagi ringgit,” kata beliau dalam kenyataan yang dibuat bersempena  dengan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) bagi membincangkan perkembangan terkini pasaran kewangan yang mempengaruhi kadar pertukaran ringgit.

Tambah beliau lagi, ahli FMC juga membincangkan hasil pemerhatian bahawa syarikat korporat dan pengeksport telah mengekalkan lebih banyak hasil dalam mata wang asing, seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan baki akaun mata wang asing yang berkemungkinan menyebabkan ketidakseimbangan dalam aliran pasaran.

Beliau yang merupakan Pengerusi FMC berkata, pengurusan risiko tukaran asing, syarikat korporat dan pengeksport digalakkan untuk memanfaatkan kadar pertukaran yang menarik dalam pengurusan imbangan mata wang asing mereka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM), Chu Kok Wei dalam kenyataan yang sama berkata, pasaran kewangan di Malaysia terus beroperasi secara teratur dan kekal kondusif bagi melaksanakan keperluan pelanggan.

“Kami mengalu-alukan panduan BNM mengenai ringgit dan perkembangan pasaran terkini. Kami akan terus menyokong usaha bank pusat untuk pasaran dalam negeri,” katanya.

Pada masa hadapan, sebagai tambahan kepada asas ekonomi Malaysia yang kukuh, FMC berpendapat bahawa penjelasan lanjut tentang kadar terminal Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) serta kemungkinan tanda positif berikutan rangsangan dari China berkemungkinan dapat memberikan sokongan terhadap ringgit dan mata wang Asia secara amnya.

Unjuran terkini oleh penganalisis dan pakar ekonomi terus menunjukkan pemulihan menyeluruh berbanding dengan dolar AS menjelang akhir tahun, pada purata 4.56 berbanding dengan dolar pada suku ketiga dan 4.50 pada suku keempat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi