Diterbitkan pada 23 Jun 2023, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengamanahkan Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) untuk menerajui program pembangunan kapasiti keusahawanan. CEDAR merupakan anak syarikat Small Medium Enterprise Development Bank (M) Bhd. (SME Bank).

YB Datuk Ewon Benedict.

Menterinya, YB Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak RM11.5 juta diperuntukkan untuk menjalankan program tersebut yang meliputi skim kelestarian bernilai RM10 juta; program pembangunan kapasiti usahawan industri halal bernilai RM400 000 untuk membantu pematuhan dalam pensijilan halal; program rintis pemantapan dan pendaftaran harta intelek dengan dana sebanyak RM100 000 dan skim juara lestari berjumlah RM1 juta.

Tambah beliau lagi, kementerian itu juga menyedari bahawa kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh CEDAR amat diperlukan demi memacu pencapaian dalam sektor ini. Demikian penjelasan beliau kepada pemberita selepas melancarkan program pembangunan sosial di sini hari ini bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 CEDAR.

Usaha berterusan SME Bank untuk terus membangunkan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) melalui CEDAR menjadi bukti bahawa bank prihatin dan sedar tentang keperluan usahawan selain mendapatkan pembiayaan.

Menurut beliau lagi, dalam pengumuman Belanjawan 2023, sebanyak RM21 juta diamanahkan kepada SME Bank khusus untuk menyokong pembangunan perusahaan sosial (SE) serta rangka tindakan keusahawanan sosial 2030 (SEMy2030)  juga telah diperkenalkan sebagai rujukan dan kerajaan mahu memastikan keusahawanan sosial bukan hanya trend perniagaan yang disesuaikan dengan faktor semasa.

Selain itu, keunikan SE termasuklah sudut pulangan perniagaan mereka menyasarkan untuk memberi kesan yang positif terhadap isu sosial dan pada yang sama membawa kepada hasil kewangan.

Menteri KUSKOP itu juga menjelaskan bahawa Malaysia perlu memulihkan dan mengarusperdanakan SE dengan menyediakan sokongan seperti pembiayaan, akreditasi dan program peningkatan kemahiran.

Harapan beliau agar aspirasi kerajaan untuk memperkasakan PMKS, termasuk SE dapat disampaikan dengan baik melalui kerjasama erat dan inisiatif berterusan antara KUSKOP dan agensinya. Impak dan nilai positif yang yang disampaikan oleh SE penting demi memberikan keyakinan kepada orang awam, pembiaya dan pelabur untuk terus menyokong pertumbuhan SE. Kini, KUSKOP mencatatkan 511 SE yang berdaftar dan 59 daripadanya berada di bawah kategori SE Bertauliah dan baki didaftarkan di bawah kategori SE Asas.

Untuk rekod, CEDAR telah ditubuhkan pada tahun 2013 dengan visi sebagai pusat kecemerlangan pembangunan dan transformasi usahawan dan turut menyokong aspirasi pembiayaan SME Bank serta berjaya memperkaya lebih 75 000 peserta program melalui 460 bimbingan yang berteraskan usahawan sejak penubuhannya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi