Diterbitkan pada 16 Jun 2023, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia meningkat kepada RM74.6 bilion pada tahun 2022 daripada RM50.4 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, manakala pelaburan di luar negara (DIA) mencatatkan RM58.6 bilion berbanding RM19.4 bilion pada tahun 2021.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa pada akhir 2022, kedudukan FDI mencatatkan nilai yang lebih tinggi iaitu RM879.1 bilion. Prestasi FDI dan DIA yang menggalakkan itu menunjukkan keadaan ekonomi dalam negara yang memberangsangkan sekali gus menarik syarikat asing untuk terus melabur manakala syarikat tempatan mengembangkan dan mempelbagaikan aktiviti perniagaan di luar negara.

Jabatan itu memaklumkan berdasarkan prestasi FDI mengikut sektor, pembuatan berkembang RM17.1 bilion untuk merekodkan aliran masuk bersih RM49.5 bilion yang menyumbang kepada aliran terbesar dalam FDI. Sektor pembuatan pula menarik 66.4 peratus daripada jumlah pelaburan, terutama dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan pembuatan lain. Sektor perkhidmatan pula merupakan penyumbang kedua terbesar terutama dalam aktiviti kewangan, diikuti sektor perlombongan terutama dalam bentuk ekuiti dan dana pelaburan saham.

Rantau Amerika memintas Asia sebagai rantau tertinggi FDI bagi 2022 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM42.6 bilion, terutama dari Amerika Syarikat yang berjumlah RM37.8 bilion. Kedudukan FDI telah meningkat kepada RM879.1 bilion pada akhir tahun 2022 daripada RM782.0 bilion pada tahun sebelumnya. Rantau Asia menjadi sumber utama kedudukan FDI dengan nilai sebanyak RM449.0 bilion, diikuti oleh Eropah pada RM224.5 bilion dan Amerika pada RM187.3 bilion pada akhir tahun 2022.

DOSM menjelaskan bahawa sektor perkhidmatan kekal sebagai penerima terbesar iaitu 48.4 peratus atau RM429.1 bilion, dipacu oleh aktiviti kewangan dan borong, diikuti oleh sektor pembuatan yang merangkumi 43.5 peratus dari jumlah FDI, terutama dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan pembuatan lain. Aliran DIA meningkat sebanyak RM39.3 bilion untuk merekodkan RM58.6 bilion pada tahun 2022, disumbangkan oleh aliran keluar yang lebih tinggi dalam ekuiti dan keuntungan yang dikekalkan di luar negara.

Perkhidmatan kekal sebagai sektor utama bagi DIA, menyumbang 72.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan terutama dalam aktiviti kewangan. Sektor perlombongan dan pengkuarian serta pembuatan masing-masing menyumbang 12.5 peratus dan 10.2 peratus, tambah jabatan itu.

DOSM memaklumkan bahawa Asia memintas Eropah sebagai rantau utama bagi aliran DIA pada 2022 dengan nilai sebanyak RM23.5 bilion terutama ke Indonesia dan Singapura. Keadaan itu diikuti oleh Eropah dan Amerika masing-masing pada RM21.0 bilion dan RM12.0 bilion. Secara keseluruhan, negara penyumbang utama bagi aliran DIA ialah terutamanya disalurkan ke Belanda, Indonesia dan Singapura.

Pada akhir tahun 2022, kedudukan DIA berada pada RM607.5 bilion berbanding RM546.5 bilion pada tahun 2021, dengan Singapura, Indonesia dan Belanda merupakan tiga destinasi utama bagi para pelabur. Menurut DOSM setelah pandemik COVID-19 mereda dan ekonomi global mula kembali pulih secara perlahan-lahan daripada kesannya, analisis lanjut mengenai pendapatan yang diperoleh daripada pelaburan pada 2022 menunjukkan pelabur FDI dan DIA terus menikmati pulangan yang tinggi.

Pulangan pelaburan bagi syarikat yang membuat FDI pada 2022 turun sedikit kepada RM0.12 daripada RM0.13 pada 2021 bagi setiap RM1.00 yang dilaburkan. Sementara itu, syarikat Malaysia menerima RM0.08 bagi setiap RM1.00 pelaburan yang dibuat di luar negara. DOSM menjelaskan bahawa sektor perkhidmatan memperoleh pendapatan tertinggi daripada FDI, sementara sektor pembuatan memperoleh pendapatan tertinggi daripada DIA.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi