Oleh Suria Janib
3 Jun 2023, 10:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Pemain industri digalakkan untuk mendaftarkan harta intelek menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi melindungi harta mereka.” Demikian menurut jurucakap MyIPO, Puan Noorfarrawiza Mohamed Zabidi, dalam sesi perkongsian ilmu: “Kesedaran dan Kepentingan Perlindungan Harta Intelek” bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, petang semalam.

Katanya, “siapa-siapa pun antara kita hidup dikelilingi oleh harta intelek.” Beliau mengambil contoh sebuah telefon bimbit merupakan harta intelek yang meliputi reka bentuk perindustrian, paten, cap dagangan (jenama produk) dan hak cipta (kandungan produk). Harta intelek sebagai rahsia dagang atau maklumat sulit dagang yang dilindungi oleh undang-undang.

Hak eksklusif yang perlu difahami oleh pemilik karya.

Puan Noorfarrawiza menjelaskan bahawa cap dagangan mempunyai perbezaan dari segi simbol ™ dan ®. Simbol ™ menunjukkan cap dagang tersebut tidak berdaftar di MyIPO. Jika terdapat simbol ®, cap dagang sudah didaftarkan di MyIPO dan pemain industri menerima sijil MyIPO yang diperakui oleh undang-undang.

Menurutnya, cap dagang semakin diperluas bagi melindungi harta intelek termasuklah bunyi dan bau. Walau bagaimanapun, tidak semua simbol atau logo ™ boleh didaftarkan lebih-lebih lagi  sekiranya cap dagangan tersebut bertujuan memperdayakan dan mengelirukan pengguna, terlibat dengan skandal atau menyinggung serta memudaratkan keselamatan kepada negara dan kepentingan komuniti.

Begitu juga paten yang merupakan hak eksklusif yang dianugerahkan untuk suatu reka cipta sama ada sebagai produk ataupun proses untuk melakukan sesesuatu yang baharu atau penyelesaian teknikal terhadap sesuatu masalah. Paten yang didaftarkan dapat digunakan untuk tujuan industri.

Reka bentuk yang boleh didaftarkan  perlu memenuhi tafsiran reka bentuk perindustrian dan yang baharu di Malaysia atau di tempat lain, serta tidak bertentangan dengan ketenteraman awam atau prinsip moral.

“Petunjuk geografi pula merujuk sesuatu tanda yang digunakan terhadap sesuatu produk kerana produk tersebut mempunyai kualiti dan reputasi yang dapat dikaitkan dengan sesuatu kawasan seperti Sabah Tea, Songket Terengganu, Keropok Losong, dan Halia Bentong,” katanya.

Menurutnya, reka bentuk susun atur litar bersepadu merupakan suatu susunan tiga dimensi unsur sesuatu litar bersepadu yang mengandungi sebahagian atau semua unsur hubungan litar bersepadu atau susunan tiga dimensi yang disediakan untuk tujuan persediaan bagi proses perkilangan.

Puan Noorfarrawiza Mohamed Zabidi.

Puan Noorfarrawiza turut menjelaskan bahawa hak cipta tertakluk di bawah Akta Hak Cipta 1987 yang merupakan hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang kepada pemilik karya bagi satu tempoh tertentu. Pemilik karya merupakan pencipta (author), pemunya (owner) dan pelaku (performer). Misalmya, M. Nasir merupakan pencipta sesuatu lagu, empunya lagu dimiliki oleh Luncai Emas, syarikat ini dimiliki oleh M. Nasir dan penyanyi lagu tersebut ialah M. Nasir, maka M. Nasir merupakan pemilik karya tersebut.

Hak eksklusif sangat penting kerana hak ini diberikan kepada pemilik karya untuk menghalang orang lain daripada mengeluarkan semula, menerbitkan semula, membuat pertunjukan kepada awam, siaran, atau membuat apa-apa penyesuaian terhadap karya tersebut. Pengkarya boleh menghalang atau memberikan kebenaran berlesen.

“Walaupun pendaftaran harta intelek tidak diwajibkan, tetapi pemain industri sangat digalakkan bagi  melindungi harta intelek,” katanya lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.